Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

 

 

Kuala Lumpur: Sudah menjadi tradisi beberapa pengeluar perkakas terkemuka akan menawarkan variasi produk terhad mereka khusus untuk pembina desktop kelas permainan di luar sana.

  Perkakas edisi terhad terutamanya kad grafik sering menjadi buruan pembina desktop kerana penawaran kuasa yang lebih baik jika dibandingkan dengan kelas premium.

  MSI sekali lagi berjaya meraih kedudukan 'raja' untuk segmen variasi terhad menerusi kad grafik kod nama 'Suprim' mereka apabila ia bukan saja menawarkan kuasa prestasi malah padanan kosmetik yang mengagumkan.

  Bagi generasi MSI Suprim ini, ia hanya dikeluarkan untuk tiga variasi kad grafik keluaran Nvidia GeForce iaitu RTX 3070, RTX 3080 dan RTX 3090 dengan semua talaan prestasi yang sudah dipertingkatkan.

  Untuk semua versi RTX, ia didatangkan dengan dua variasi iaitu Suprim dan Suprim X.

  Variasi ini menggunakan tiga kipas penyejuk 'Tri Frozr 2S' untuk memastikan suhu kad pengguna berada pada tahap paling minimum biarpun ketika kapasiti penuh.

  Jika dibandingkan dengan beberapa kad premium lain, MSI Suprim serta Suprim X merekodkan bacaan suhu sekitar 10 peratus lebih rendah untuk kepenggunaan penuh.

  Pengguna juga boleh melakukan talaan prestasi menerusi perisian mengikut kesesuaian dan ia sangat mudah untuk dilaksanakan.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 3:20 PM