MSI MEG X570 Unify tawar kuasa talaan prestasi kepada pengguna termasuk kelajuan frekuensi RAM sehingga 5,000+.
MSI MEG X570 Unify tawar kuasa talaan prestasi kepada pengguna termasuk kelajuan frekuensi RAM sehingga 5,000+.
Muhammad Saufi Hassan


PAPAN induk atau 'motherboard' ini umpama jasad bagi sesebuah desktop yang akan menggabungkan semua 'organ'

penting untuk sesebuah unit.

Pemilihan papan induk ini juga adalah penting terutamanya bagi pengguna yang mahu melakukan talaan prestasi 'overclocked' termasuk frekuensi memori (RAM) yang tinggi.

Setiap papan induk ini mempunyai kelebihan tersendiri dan secara hipotesisnya, semakin mahal sesebuah papan induk pastinya semakin berkuasa dengan padanan pelbagai perkakas terutamanya fasa kuasa yang stabil.

Untuk itu, jenama perkakas kelas permainan terkemuka, MSI menawarkan papan induk daripada siri MEG X570 Unify khusus untuk peminat pemproses keluaran Advanced Micro Devices (AMD).

Bagi penulis, ia sebuah papan induk yang baik memandangkan penulis kurang menggemari padanan lampu-lampu RGB yang kebanyakannya ditawarkan.

MSI MEG X570 Unify ini boleh dikategorikan sebagai 'sleeper unit' memandangkan ia tidak dilengkapi dengan lampu RGB namun mempunyai pin sambungan ARGB bagi pengguna yang mahu melakukan penyeragaman lampu.

Papan induk ini menyokong pemproses Ryzen siri 5000 termasuk beberapa siri terdahulu yang menggunakan soket AM4.

Sesuai dengan kelas prestasinya, MSI MEG X570 Unify mampu untuk menyokong frekuensi kelajuan RAM sehingga 5,000+ (OC) dan dilengkapi dengan pelindung aluminium termasuk kipas penyejuk di bahagian bawah.

Ia turut dilengkapi dengan tiga slot M.2 PCIe 4.0 SSD Gen4x4 bersama-sama pelindung 'Frozr'.

MEG X570 Unify ini menyokong internet tanpa wayar (WiFi) 6 untuk memberikan kelajuan stabil sehingga 2,400Mbps sekali gus pengalaman permainan atas talian lebih baik.

Ia juga mampu untuk menyokong padanan dua kad grafik untuk keupayaan SLI bagi Nvidia atau Crossfire untuk kad grafik keluaran AMD.

Bahan binaan untuk papan induk ini juga mempunyai kualiti premium dan sesuai untuk pengguna yang tidak mahu kelihatan terlalu 'fancy' dalam desktop mereka.

Secara keseluruhannya, MSI MEG X570 Unify adalah papan induk kelas tinggi yang sesuai dipadankan bersama pemproses kelas prestasi tinggi termasuk berkeupayaan untuk melakukan talaan prestasi mengikut kesesuaian pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 6:30 AM