Muhammad Saufi Hassan

 

 

Bagi penyedia kandungan, pastinya saiz skrin paparan memainkan peranan besar terutamanya untuk melaksanakan proses suntingan.

  Selain itu, kejelasan tona warna juga sangat penting supaya setiap pemilihan kesan grafik adalah sesuai.

  Pengeluar perkakas komputer terkemuka, MSI menawarkan skrin paparan MPG Artymis 343 CQR yang memberikan kebebasan kepada penyedia kandungan termasuk sudut pandangan yang lebih luas.

  Skrin paparan ini bukan saja sesuai untuk penyedia kandungan, malah menjadi antara skrin terbaik buat kelas permainan kerana menawarkan kadar tindak balas yang cepat.

  Skrin paparan itu didatangkan dengan resolusi 3440 x  1440 dengan kadar segar semula pada tahap 165Hz sekali gus sangat bersesuaian untuk genre permainan aksi pantas.

  MPG Artymis 343CQR ini dilengkapi kadar lengkungan 1000R dan ia adalah tahap lengkungan paling optimum untuk mata manusia.

  Paparan keluaran MSI ini juga mempunyai sudut pandangan ultra lebar sekali gus memberi nilai maksimum untuk 'kadar pandangan' (POV) pemain.

  Untuk penggemar genre permainan aksi pantas, mereka memerlukan kadar segar semula yang tinggi termasuk tindak balas paparan 1ms sekali gus menjadikan MPG Artymis 343CQR adalah pilihan paling tepat.

  Ia juga mampu untuk menghasilkan kesan paparan 'julat dinamik tinggi' (HDR) dengan tona warna lebih baik untuk setiap keadaan.

  Paparan ini menggunakan panel VA bersaiz 34 inci serta menyokong teknologi FreeSync Premium bersama HDR400.

  Bagi sambungan pula, ia didatangkan dengan satu sambungan DisplayPort 1.4, dua sambungan HDMI, USB jenis C bersama-sama sambungan USB 3.2 Gen1  jenis A dan B.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 9:38 PM