iPad Pro baharu menggunakan cip pemproses Apple M1.
iPad Pro baharu menggunakan cip pemproses Apple M1.
Muhammad Saufi Hassan


Apple awal pagi tadi memperkenalkan barisan iPad Pro baharu yang dipertingkatkan dengan penggunaan cip pemproses Apple M1.

  Sebelum ini, versi iPad Pro dikuasakan dengan cip berbeza dan kali ini Apple menggunakan cip berkenaan untuk peranti mudah alih berkuasa mereka dan ia cip yang sama digunakan untuk MacBook dan juga iMac Mini.

  Penggunaan cip pemproses paling maju berkenaan menawarkan prestasi paling baik untuk semua variasi iPad Pro yang pernah dikeluarkan.

  Apple juga menyertakan versi iPad Pro dengan sokongan 5G selain dilengkapi port Thunderbolt dengan sokongan USB 4.0 bersama-sama panel paparan resolusi tinggi.

  Untuk versi baharu ini, iPad Pro bersaiz 12.9 inci dilengkapi dengan Liquid Retina XDR manakala bagi saiz 11 inci masih menggunakan panel sama seperti generasi sebelumnya.

  Menyentuh aspek kamera iPad Pro ini, ia hadir dengan kamera 12 megapiksel untuk panggilan video dan kali ini Apple menawarkan 'center stage' bagi pengalaman penggunaan terutamanya untuk panggilan video yang lebih baik.

  Peranti ini juga dilengkapi dengan pengimbas sensor pengimbas cahaya dan jarak (LiDAR) untuk mempertingkatkan pengalaman penggunaan.

  Tanda harga untuk iPad Pro 12.9 inci bermula RM4,799 untuk versi WiFi dan RM5,449 bagi versi selular manakala untuk versi 11 inci ditawarkan pada harga bermula RM3,499.

  Peranti berkenaan akan berada di pasaran tempatan tidak lama lagi dengan variasi storan bermula 128GB hingga 2TB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 9:14 AM