KERAJAAN perlu perkemas sistem keselamatan siber termasuk menyediakan pasukan khas untuk mendepani ancaman baharu.
KERAJAAN perlu perkemas sistem keselamatan siber termasuk menyediakan pasukan khas untuk mendepani ancaman baharu.
Muhammad Saufi Hassan


RUANG siber bakal menjadi 'medan pertempuran' baharu sekali gus mewujudkan keperluan untuk setiap negara mempunyai 'batalion tentera' berkepakaran dalam pertahanan ruang siber.

Ia bukan lagi satu angan-angan atau hanya berlegar dalam ruang teori saja sebaliknya era digitalisasi hari ini membenarkan hampir keseluruhan maklumat berstrategik sesebuah negara diintegrasi dalam sistem maya.

Era rekod secara kertas dan fail fizikal sudah semakin luput apabila kebanyakan negara maju sudah melaksanakan integrasi maklumat maya secara menyeluruh.

Keadaan itu turut membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk cuba mencari kerentanan sesebuah sistem yang digunakan sekali gus mencuri sebarang maklumat bernilai tinggi terutama membabitkan pangkalan data sesebuah negara.

Hal itu menjadikan setiap negara perlu mempunyai pasukan pakar dalam ruang siber untuk mempertahankan jika berlaku serangan atau mencari kelemahan supaya ia dapat dipertingkatkan.

Penasihat Teknikal Pusat Kajian Terrorisme dan Ekstremisme Universiti Sains Arab Naif, Arab Saudi, Dr Mohd Mizan Aslam berpendapat bahawa ruang siber bakal menjadi medan pertempuran baharu pada masa depan.

Menurutnya, ia adalah pertempuran secara maya dan mana-mana negara tidak mempersiapkan keupayaan pertahanan ruang siber yang mencukupi akan menjadi mangsa kepada serangan tanpa sempadan ini.

"Jika menyentuh konteks Malaysia, saya lihat, tahap keselamatan siber di negara kita masih lemah dan kerajaan perlu meningkatkan kesiapsiagaan sistem pertahanan maya.

"Serangan itu boleh berlaku daripada sesiapa atau mana-mana pihak sekali pun tanpa mengira ruang sempadan, sentimen atau isu yang sedang dibangkitkan.

"Ini adalah 'open battlefield' (medan pertempuran terbuka) dan sesiapa saja yang mempunyai kepakaran boleh melancarkan serangan jika kita tidak bersedia daripada awal," katanya kepada #ITMetro, baru-baru ini.

SERANGAN siber bakal menjadi medan pertempuran baharu jika langkah peningkatan keselamatan tidak diambil daripada awal.
SERANGAN siber bakal menjadi medan pertempuran baharu jika langkah peningkatan keselamatan tidak diambil daripada awal.

Dr Mohd Mizan berkata, banyak negara maju sudah mempunyai pasukan kepakaran perkomputeran mereka sendiri untuk mendepani ancaman serangan siber berkenaan.

Menurutnya, jika dilihat laporan daripada firma keselamatan siber juga menyatakan bahawa taktik serangan itu berubah hampir setiap hari membabitkan pelbagai segmen.

"Sudah sampai masanya kerajaan perlu mewujudkan satu pasukan khas terdiri daripada tenaga pakar perkomputeran dan sistem untuk mendepani ancaman ini.

"Kerajaan perlu ada fokus meningkatkan tahap kesiapsiagaan serangan di ruang siber," katanya.

Katanya, langkah itu sangat penting supaya ruang siber di negara kita kekal selamat terutamanya rangkaian maklumat berstrategik yang pastinya menjadi sasaran utama penggodam.

Menerusi konteks yang lebih luas, beliau berkata, langkah itu juga akan membuka peluang lebih ramai pakar sistem perkomputeran tempatan untuk terbabit secara langsung dalam memastikan keselamatan ruang siber di negara ini.

"Kita tidak pernah kekeringan tenaga pakar, saya amat yakin anak tempatan mempunyai kepakaran dan keupayaan jika diberikan ruang serta latihan yang secukupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:48 AM