BINAAN Vivo X60 lebih nipis serta ciri peranti premium termasuk keupayaan skrin dengan kadar segar semula 120Hz.
BINAAN Vivo X60 lebih nipis serta ciri peranti premium termasuk keupayaan skrin dengan kadar segar semula 120Hz.
Muhammad Saufi Hassan

SUDAH menjadi 'trend' pengguna hari ini untuk cenderung memilih peranti pintar yang menawarkan keupayaan kamera yang baik memandangkan kehidupan seharian yang dekat dengan media sosial.

Pastinya, setiap gambar yang dirakam itu mahu kelihatan cantik, tona warna yang baik di samping prestasi lensa terutamanya ketika mengambil gambar dalam pencahayaan yang kurang.

Untuk itu, pengeluar peranti pintar terkemuka, Vivo menawarkan peranti baharu mereka iaitu Vivo X60 Pro yang sarat dengan teknologi baharu di samping keupayaan kamera yang sangat baik.

Vivo X60 Pro ini menggunakan cip pemproses termaju dalam kelasnya iaitu Qualcomm Snapdragon 870 dengan binaan 7nm bersama padanan memori (RAM) variasi 8GB dan 12GB LPDDR5 mengikut pilihan pengguna.

Skrin peranti pintar ini berkeluasan 6.56 inci dengan paparan AMOLED Definisi Penuh Dipertingkatkan (FHD+) serta sokongan skrin kadar segar semula 120Hz.

Untuk kamera pula, Vivo X60 Pro menggunakan tetapan tiga lensa di bahagian belakang dengan keupayaan 48 Megapiksel (MP) sudut lebar dengan teknologi penstabilan gimbal bersama-sama lensa telefoto 13MP yang mampu melakukan dua kali pembesaran optikal.

Lensa ketiga pula menggunakan 13MP sudut ultra lebar dan ia dikuasakan dengan rekaan optik Zeiss serta sokongan mod HDR dan panorama.

Peranti ini berkeupayaan untuk melakukan rakaman video resolusi 4K bersama 30 atau 60 bingkai sesaat (FPS) dan teknologi penstabilan untuk video lebih baik.

Kapasiti bateri pula adalah 4,200mAh dan pengecas pantas 33W sekali gus memberi kepantasan waktu pengecasan.

Penulis sangat selesa untuk memegang peranti ini kerana ia bukan saja nipis malah binaannya yang kemas serta meletakkan ciri premium pada kemasan produk berkenaan.

Vivo bijak menggunakan padanan skrin 120Hz apabila menjadikan pengalaman pengguna lebih 'fluid' untuk prestasi penstriman video, menukar paparan serta pengalaman permainan mudah alih.

Sesuai dengan kepenggunaan pada masa kini, peranti pintar tidak hanya dijadikan alat berkomunikasi malah untuk produktiviti serta melepaskan tekanan dengan bermain pelbagai judul permainan mudah alih.

Skrin 120Hz serta padanan RAM yang tinggi bersama cip pemproses Snapdragon 870 sudah cukup memberikan pengalaman yang sangat baik malah tetapan kesan grafik boleh diletakkan pada tahap paling tinggi tanpa masalah.

VIVO X60 perkenal kuasa lensa Zeiss menjadikan rakaman gambar waktu malam yang lebih mengagumkan.
VIVO X60 perkenal kuasa lensa Zeiss menjadikan rakaman gambar waktu malam yang lebih mengagumkan.

Biarpun secara atas kertas, cip pemproses Snapdragon 870 dilihat sedikit lemah berbanding 880, namun kuasa optimasi oleh Vivo memberi kelancaran untuk sebarang aplikasi.

Secara keseluruhannya, Vivo X60 Pro adalah peranti yang sangat baik untuk segenap segmen termasuk kemasan fizikal yang baik sesuai dengan kelas premium.

Walaupun begitu, penulis merasakan bahawa prestasi bateri serta audio tidak begitu memuaskan dan mungkin Vivo boleh mempertingkatkan keupayaan dua aspek berkenaan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:30 AM