SEORANG lelaki berjalan di hadapan ibu pejabat LG Electronics di Seoul. FOTO AFP
SEORANG lelaki berjalan di hadapan ibu pejabat LG Electronics di Seoul. FOTO AFP
AFP

Seoul: LG Electronics, syarikat perkakas kedua terbesar di Korea Selatan selepas Samsung akan menamatkan perniagaan telefon bimbitnya, selepas ia kehilangan berbilion dolar dalam beberapa tahun sebelum ini.

Syarikat ini pernah dianggap sebagai pelopor sistem operasi Android dan bekerjasama dengan Google bagi siri Nexus pada awal 2010.

Bagaimanapun, ia menghadapi kekurangan jualan selain lambat memasuki dan berdepan persaingan sengit daripada syarikat China yang menawarkan peranti lebih murah seperti Huawei.

Ia kerap disenaraikan sebagai 10 pengeluar telefon pintar teratas di dunia tetapi menurut Counterpoint, kali terakhir ia mencatatkan bahagian pasaran global lebih tiga peratus adalah pada suku kedua 2018.

Unit ini turut mencatat kerugian selama 23 suku berturut-turut sejak 2015, dengan defisit kumulatif sehingga 5 trilion won (RM18.23 bilion) pada akhir tahun lalu.

Bahagian itu "gagal menghasilkan pencapaian" ketika "persaingan harga yang semakin sengit di antara pesaing utama di pasaran telefon bimbit peringkat permulaan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, keputusan itu akan membolehkan syarikat itu memberi fokus pada kawasan pertumbuhan seperti komponen kenderaan elektrik, robotik dan rumah pintar.

LG dilaporkan mengadakan perbincangan dengan syarikat Vietnam Vingroup berhubung kemungkinan jualan tetapi ia tidak dapat diteruskan akibat perbezaan harga, menurut laporan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 4:03 PM