Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Persidangan Kongres Mudah Alih Sedunia (WMC) 2021 nampaknya mengalami nasib sama seperti tahun lalu apabila Google mengesahkan untuk tidak membuat pameran ketika kongres berkenaan.

  Kongres berkenaan dijadualkan berlangsung pada 28 Jun hingga 1 Julai depan yang menjadi platform utama pengeluar peranti pintar untuk memperkenalkan barisan produk baharu mereka.

  Google menyatakan keputusan itu dibuat susulan situasi semasa Covid-19 yang masih melanda dunia.

  "Berikutan situasi semasa Covid-19 serta halangan perjalanan dan protokol keselamatan, Google membuat keputusan untuk tidak menyertai pameran WMC 2021 pada tahun ini.

  "Kami akan terus bekerjasama dengan GSMA (penganjur WMC) termasuk menyokong rakan strategik menerusi peluang persidangan secara maya.

  "Di samping itu, kami menantikan aktiviti tahun ini dan akan kembali di Barcelona pada 2022," katanya menerusi satu kenyataan akhbar, sebentar tadi.

  Pada Februari lalu, GSMA yang juga penganjur WMC menyatakan mereka optimis untuk menganjurkan kongres berkenaan pada Jun depan termasuk memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

  Bagaimanakan, penganjur tidak menyatakan perancangan mereka untuk mewajibkan peserta untuk mendapat vaksin terlebih dulu dan hanya memerlukan ujian saringan Covid-19 dilaksanakan 72 jam sebelum tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 10:33 AM