MACBOOK Pro dengan cip pemproses Apple M1 memberi kelebihan untuk kepelbagaian tugas dalam satu masa.
MACBOOK Pro dengan cip pemproses Apple M1 memberi kelebihan untuk kepelbagaian tugas dalam satu masa.
Muhammad Saufi Hassan


TAHUN lalu, Apple memperkenalkan silikon pertama keluaran syarikat berkenaan iaitu Apple M1 yang menawarkan kuasa pemproses lebih baik daripada cip pemproses yang digunakan sebelum ini.

Cip pemproses berkenaan juga digunakan buat pertama kali untuk peranti MacBook Pro versi 2020 dan hasilnya amat mengagumkan terutama untuk kefungsian pelbagai tugas, suntingan video resolusi tinggi serta jangka hayat bateri.

Apple M1 menggunakan rekaan 5 nanometer dan cip pertama yang digunakan untuk segmen industri sekali gus menawarkan kuasa prestasi lebih baik daripada mana-mana pemproses lain.

Ia menggunakan teknologi 'SoC' atau 'cip tunggal untuk sistem' dan teknologi berkenaan menghapuskan kadar kelengahan serta menjadikan setiap komponen lebih efisien untuk memproses jumlah maklumat yang banyak dalam satu-satu masa.

Teknologi SoC itu juga diperakui menjimatkan bateri secara keseluruhan dan Apple M1 dilengkapi dengan 16 bilion transistor.

Berdasarkan ujian prestasi, Apple M1 merekodkan bacaan lebih 3.9 kali lebih pantas daripada pemproses video dan lebih 7.1 kali pemproses imej.

Penulis menggunakan MacBook Pro Apple M1 untuk melakukan suntingan video bagi resolusi Definisi Ultra Tinggi (UHD) 4K dan suntingan boleh dibuat secara terus tanpa perlu menunggu proses 'rendering' untuk setiap tambahan animasi yang dilakukan.

Perbandingan juga dibuat dengan MacBook yang menggunakan pemproses Intel dan hasilnya adalah cip Apple M1 jauh lebih baik daripada aspek pemproses maklumat serta ketahanan bateri dalam jangka panjang.

Pengguna boleh melakukan tetapan pilihan MacBook sama ada menggunakan model asas MacBook M1 dengan kapasiti memori (RAM) 8GB serta storan 256GB sehingga kepada spesifikasi tinggi 16GB RAM dan storan 2TB SSD.

Kelebihan peranti Apple adalah pengguna boleh melakukan tetapan spesifikasi sendiri mengikut skop kepenggunaan dan pastinya ia sangat bersesuaian dengan penyedia kandungan.

Bagi spesifikasi MacBook Pro M1 milik penulis, ia menggunakan cip lapan teras bersama integrasi RAM bersama saiz skrin 13.3 inci dengan resolusi 2,560 x 1,600.

Panel skrin menggunakan IPS backlit LED dengan kadar kecerahan 500 Nits bersama tona warna P3 Gamut sekali gus menghasilkan warna sebenar.

Ia juga menyokong sambungan Internet Tanpa Wayar (WiFi) Generasi Keenam bersama versi Bluetooth 5.0.

Secara keseluruhannya, MacBook Pro M1 menawarkan kuasa prestasi terbaik dalam kelasnya untuk semua tugasan bermula daripada suntingan gambar, video serta animasi sehingga kepada kefungsian pelbagai tugas.

Peranti ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk melancarkan apa juga tugasan dan sangat sesuai untuk semua lapisan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 6:44 AM