NEGARA bakal melaksanakan 5G pada suku keempat tahun ini.
NEGARA bakal melaksanakan 5G pada suku keempat tahun ini.
Muhammad Saufi Hassan


NEGARA bakal menikmati rangkaian telekomunikasi Generasi Kelima (5G) pada suku keempat tahun ini sekali gus akan mewujudkan lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Kerajaan sudah membelanjakan sejumlah RM15 bilion pelaburan untuk pembangunan infrastruktur jaringan telekomunikasi 5G dan ia bakal menjadi 'game changer' kepada industri sedia ada.

Menerusi satu taklimat khas kepada media oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek menyatakan ia turut mewujudkan lebih 105,000 peluang pekerjaan baharu.

"Jika dibandingkan dengan beberapa negara rantau Asia Tenggara yang lain, kita lihat Singapura, Thailand dan Vietnam agak ke depan dalam soal pelaksanaan jaringan 5G.

"Untuk itu, kita perlu lebih cepat supaya kekal menjadi negara yang kompetatif sekali gus menarik minat pelabur asing untuk meneruskan aktiviti perniagaan mereka di dalam negara ini.

PERLAKSAAN 5G di Malaysia pada suku keempat tahun ini dianggap  antara yang terpantas di rantau Asia Tenggara.
PERLAKSAAN 5G di Malaysia pada suku keempat tahun ini dianggap antara yang terpantas di rantau Asia Tenggara.

"Kita memang bukan yang terbaik tetapi kita juga bukan yang terlambat dalam soal ini. Kita masih antara negara yang pantas untuk pelaksanaan 5G dalam rantau Asia Tenggara," katanya.

Fadhlullah Suhaimi berkata, pelaksanaan 5G pada suku keempat tahun ini juga akan membuka lebih banyak peluang pelaburan digital sekali gus merangsang industri pintar yang lain.

"Mungkin ada sesetengah pihak yang agak skeptikal namun kita komited untuk terus memenuhi objektif ini dan untuk itu, kita sudah melancarkan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk merapatkan jurang kesalinghubungan antara lokasi di negara ini.

"Kita mahu 5G ini menjadi realiti dan Internet adalah berkaitan tentang perhubungan. Pelaksanaan sistem jaringan ini akan menyumbang kepada kerancakkan sektor vertikal yang lain sekali gus menyumbang kepada pelaburan digital," katanya.

Menerusi taklimat itu juga mendedahkan bahawa ketika tempoh pandemik Covid-19 berlaku yang memaksa kebanyakan tugasan dilaksanakan di rumah, terdapat tekanan terhadap infrastruktur digital.

Sepanjang tempoh itu, trafik Internet meningkat sebanyak 30 hingga 70 peratus manakala kelajuan Internet juga merosot pada kadar 30 hingga 40 peratus.

Susulan daripada tekanan digital berkenaan, terdapat rungutan daripada orang awam kerana tidak dapat menikmati kelajuan Internet yang sepatutnya.

PENGERUSI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.
PENGERUSI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Beliau dipetik berkata, pelaksanaan 5G itu akan menjadikan Malaysia sebagai antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan Internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.

Muhyiddin berkata, semua syarikat telekomunikasi berlesen dijangka mendapat akses infrastruktur sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan.

"Perkongsian kos infrastruktur ini membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:20 AM