GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kira-kira 84 peratus perniagaan Malaysia percaya peranti berasaskan awan atau usaha digitalisasi menjadi faktor paling penting kepada kelangsungan perniagaan serta pemulihan bencana semasa Covid-19, demikian menurut satu tinjauan oleh Alibaba Cloud pada November 2020.

Alibaba Cloud, tulang belakang teknologi digital dan kepintaran Alibaba Group berkata, 66 peratus responden begitu menyokong penggunaan penyelesaian teknologi maklumat (IT) berasaskan awan untuk mengembangkan perniagaan mereka berbanding sebelum penularan pandemik.

"Tinjauan itu turut mendapati 76 peratus responden Malaysia percaya alat berasaskan awan telah membantu mereka mengatasi keperluan perniagaan dan operasi mereka sepanjang penularan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Walaupun sebilangan besar perniagaan di Malaysia sudahpun menggunakan penyelesaian IT berasaskan awan (72 peratus), ia lebih rendah daripada jumlah penggunaan di Singapura (87 peratus), sekali gus menunjukkan peluang penggunaan yang lebih besar dan menjadi bidang fokus untuk penyedia.

Memandangkan bekerja secara "remote" telah menjadi normal baharu untuk kebanyakan komuniti, 40 peratus responden dari Malaysia percaya faedah paling ketara daripada penyelesaian IT berasaskan awan adalah membolehkan tempat kerja menjadi lebih fleksibel, iaitu tertinggi antara pasaran yang dikaji selidik.

Sementara itu, lebih daripada 1,000 perniagaan daripda enam bidang seluruh Asia termasuk Hong Kong, Malaysia, Singapura, India, Indonesia dan Filipina telah menyertai tinjauan ini dengan menjawab soalan yang diedarkan pada November 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 2:53 PM