Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

 

Kuala Lumpur: Pemilihan skrin paparan memang penting terutamanya untuk pengguna yang mementingkan kurang kadar kelengahan terutamanya untuk genre permainan penembak pandang pertama (FPS).

  Biarpun terdapat pelbagai jenis skrin paparan berada di pasaran, bagaimanapun MSI Optix MPG27CQ berada pada kelas tersendiri dengan penampilan kefungsian khusus serta tetapan mod permainan.

  Untuk ciri kosmetik, paparan MSI Optix MPG27CQ didatangkan dengan warna hitam bersama padanan warna lampu RGB yang boleh ditetapkan menerusi perisikan khusus MSI iaitu Mystic Light.

  Lampu RGB berkenaan ditampilkan pada bahagian bawah skrin termasuk corak dinamik dibahagian belakang skrin.

  MSI Optix MPG27CQ adalah skrin paparan melengkung dengan lengkungan radius 1800R dan turut menyokong VESA.

  Paparan ini adalah panel bersaiz 27 inci dengan resolusi 2560 x 1440 (WQHD) serta kadar segar semula pada tahap 144Hz bersama teknologi panel jenis VA.

  Kadar kecerahan skrin 400 nits manakala untuk sokongan port, paparan ini mempunyai satu sambungan DisplayPort 1.2 dan dua HDMI 2.0 serta dilengkapi bicu audio terus kepada paparan.

  Pengguna boleh melakukan tetapan kefungsian menerusi beberapa mod permainan antaranya FPS, Racing, RTS dan RPG namun mengikut kepada pemilihan pengguna berdasarkan keselesaan.

  Paling menarik untuk skrin paparan ini adalah bazel yang sangat nipis pada kadar 1 sentimeter sekali gus tidak mengganggu fokus ketika permainan.

  Daripada aspek kualiti binaan paparan, MSI menampilkan kualiti terbaik dengan bahan binaan yang kukuh serta pengguna akan merasa puas jika membeli paparan model ini.

 

Spesifikasi MSI Optix MPG27CQ

Saiz panel : 27 inci

Jenis panel : VA

Radius lengkung : 1800R

Sokongan : VESA

Sokongan paparan : 1 DisplayPort dan 2 HDMI

Ciri lain : Bicu audio terus kepada paparan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 10:12 PM