GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dalam memastikan aliran data rentas sempadan yang selamat dan meningkatkan keselamatan siber bagi mewujudkan ekosistem yang dipercayai untuk e-dagang ASEAN, Malaysia mengesahkan sokongannya dalam melaksanakan inisiatif di bawah Rangka Kerja Tadbir Urus Data Digital ASEAN.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata selain rangka kerja itu, Malaysia juga akan terus menyokong Forum Perlindungan dan Privasi Data ASEAN dan pembangunan Klausa Kontrak Model ASEAN.

"Malaysia juga komited mempromosikan pembangunan program pensijilan keselamatan siber profesional untuk ASEAN dalam membantu mewujudkan kakitangan keselamatan siber bertaraf dunia.

"CyberSecurity Malaysia (CSM), sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia menubuhkan skim pensijilan profesional keselamatan siber tempatan dikenali sebagai Global ACE (Skim Pendidikan Keselamatan Siber Akreditasi Global) yang ingin ditawarkan Malaysia kepada negara anggota ASEAN.

Saifuddin berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang pertama melalui telesidang hari ini.

"Bagaimanapun, banyak yang masih perlu dilakukan dalam perjalanan untuk menjadi blok ekonomi digital yang kompetitif dan bersepadu terutama dalam keadaan semasa," katanya merujuk kepada pandemik Covid-19 dan normal baharu yang perlu dihadapi dunia.

Saifuddin turut mengakui pencapaian ASEAN dalam bidang digital sejak 10 tahun lepas sebagai bukti sejauh mana pencapaian rantau ini, di bawah bimbingan Pelan Induk ICT ASEAN 2015 (AIM2015) dan Pelan Induk ICT ASEAN 2020 (AIM2020).

Beliau berkata sementara negara ASEAN mendapat landasan dalam menggalakkan pemulihan ekonomi dan peralihan kepada normal baharu, Pelan Induk Digital ASEAN 2025 akan mengemudi rantau ini melalui pembangunan digital lima tahun akan datang.

Saifuddin turut berkongsi usaha Malaysia untuk membuka akses yang lebih besar kepada Internet dengan menaik taraf infrastruktur digitalnya, merangkumi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan penubuhan Majlis Ekonomi Digital Negara & 4IR untuk menyelia kemahiran digital, pekerjaan, perniagaan, pelaburan, infrastruktur, teknologi baru muncul, kerajaan dan penggunaan digital komuniti serta data dan keselamatan siber.

Saifuddin mempengerusikan ADGMIN1 secara maya yang dihoskan oleh Malaysia bermula hari ini, dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucaptama secara maya semasa upacara pembukaan tersebut.

Sebelum ADGMIN1, berlangsung Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN yang pertama (ADGSOM1) selama dua hari yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Bertemakan ASEAN - Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital, mesyuarat itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara negara ASEAN ke arah membina ekosistem digital sebagai tonggak dalam pelan pembangunan pasca-Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 11:32 AM