APPLE Watch Series 6 didatangkan dengan kefungsian sensor baharu untuk menyemak kadar oksigen dalam darah termasuk beberapa ciri khusus kepada pengguna.
APPLE Watch Series 6 didatangkan dengan kefungsian sensor baharu untuk menyemak kadar oksigen dalam darah termasuk beberapa ciri khusus kepada pengguna.
Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA hari ini bijak untuk membeli setiap peranti mereka bukan saja mampu untuk diselaraskan malah boleh menjadi 'jurulatih kecergasan maya' dan kekal kelihatan 'trendy' daripada aspek rekaan.

Dua elemen berkenaan menjadi garis penentuan untuk pengguna membeli setiap peranti boleh pakai kerana ia bukan saja diukur daripada aspek prestasi sebaliknya bagaimana peranti berkenaan boleh menyumbang kepada kehidupan rutin pengguna.

Kebanyakan jam pintar mempunyai ciri 'sporty' dan ada kalanya tidak sesuai dipakai untuk majlis rasmi atau set jam pintar itu tidak padan dengan pemakaian seseorang untuk majlis tertentu.

Individu yang mahu peranti boleh pakai kelihatan 'trendy' pada masa sama menjadi jurulatih kecergasan maya, pengguna boleh memilih Apple Watch Series 6 yang bukan saja elegan daripada aspek rekaan malah sarat dengan pelbagai kefungsian.

Secara umumnya, Apple kali ini memperkenalkan dua variasi peranti iaitu Apple Watch Series 6 bagi kelas premium dan Apple Watch SE untuk tanda harga yang lebih mampu milik.

Pembaharuan diberikan oleh Apple menerusi Apple Watch Series 6 apabila menyertakan kefungsian sensor 'Blood Oxygen' yang boleh mengukur tahap oksigen di dalam darah secara kasar dengan tempoh pembacaan 15 saat.

Peranti ini juga menawarkan pelbagai fungsi sukan di luar rumah ataupun di dalam kediaman sekali gus boleh menjadi jurulatih kecergasan maya dengan mengingatkan pengguna untuk berjalan, bangun berdiri dan menarik nafas.

Kali ini, pengguna boleh memilih tali tangan (strap) rekaan baharu iaitu 'Solo Loops' untuk lebih kemas dan ukuran berkenaan boleh dimuat turun menerusi laman web Apple sebelum pengguna melakukan pembelian.

APPLE Watch Series 6, Apple Watch SE dua variasi peranti  tawar pelbagai fungsi sukan di luar dan dalam rumah.
APPLE Watch Series 6, Apple Watch SE dua variasi peranti tawar pelbagai fungsi sukan di luar dan dalam rumah.

Penulis sendiri merasakan bahawa Apple Watch Series 6 sarat dengan pelbagai fungsi yang sangat menarik bermula daripada aspek kesihatan umum, sukan kecergasan sehingga kepada menjadi 'memo pintar' termasuk pemantau waktu tidur pengguna.

Menyentuh aspek spesifikasi, Apple Watch Series 6 didatangkan dengan sistem S6 berbanding Apple Watch Series 5 dengan penawaran kuasa prestasi lebih 20 peratus termasuk kadar kecekapan guna tenaga yang lebih baik.

Peranti boleh pakai ini juga dilengkapi dengan sambungan Internet Tanpa Wayar (WiFi) 5GHz bersama cip U1 dan Jalur Lebar Ultra (UWB) untuk pengalaman komunikasi tanpa wayar yang lebih baik.

Bagi aspek paparan pula, Apple sudah meningkatkan keupayaan siri Apple Watch dengan kadar kecerahan paparan kepada 500nits untuk Apple Watch Series 6 jika dibandingkan dengan Series 5 hanya 200nits saja.

Apple memberi jaminan bahawa siri terbaharu ini mempunyai kadar pengecas pantas iaitu tempoh 60 minit untuk bateri 0 hingga 80 peratus dan pengecasan 100 peratus untuk 90 minit.

Secara terperinci, siri baharu ini mengurangkan masa pengecasan selama 33 peratus iaitu sekitar 30 minit dan 40 peratus untuk 60 minit jika dibandingkan dengan siri terdahulu iaitu Watch Series 5.

Peranti boleh pakai Series 6 ini didatangkan dengan dua saiz pemuka iaitu 40mm dan 44mm menerusi versi biasa dan Nike bermula pada harga RM1,749 untuk 40mm manakala RM1,899 untuk 44mm.

Bagi Apple Watch SE pula RM1,199 untuk pemuka bersaiz 40mm dan RM1,349 bagi 44mm dan pengguna boleh melakukan pembelian di laman web rasmi Apple atau mana-mana kedai rasmi jenama itu.

Secara keseluruhannya, penulis melihat bahawa peranti boleh pakai keluaran Apple ini tidak pernah mengecewakan dengan pelbagai ciri baharu termasuk sesuai untuk pengguna aktif mahupun kasual kerana rekaan elegannya.

Kefungsian peranti ini juga memenuhi rutin harian pengguna bermula daripada tugasan produktiviti, menyemak pesanan keluar masuk, pembantu peribadi pintar sehingga kepada jurulatih kecergasan maya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 6:15 AM