Muhammad Saufi Hassan

 

Aspek keperluan dunia permainan banyak dipengaruhi oleh spesifikasi mesin atau 'rig' di samping keupayaan skrin paparan yang mampu menghasilkan visual terbaik untuk sebarang resolusi.

  Untuk itu, Acer bijak apabila mengembangkan portfolio produk skrin paparan mereka menerusi barisan Predator dan Nitro dengan pengenalan enam kemas kini baharu.

  Pengumuman kemas kini baru itu dibuat ketika majlis Next@Acer yang dilakukan secara maya memperlihatkan syarikat berkenaan mengukuhkan jenama kelas permainan di pasaran.

  Produk kemas kini yang diumumkan membabitkan skrin paparan kelas permainan daripada barisan Predator XB3, XB273U NV, XB253Q GW, XB323U GX, X34 GS dan siri paparan Nitro.

  Bagi barisan produk siri Predator iaitu X34 GS yang sememangnya menjadi perhatian semua 'gamers' menawarkan paparan 34 inci skrin lengkung UWQHD dengan resolusi 3440 x 1440 yang dipadankan dengan panel IPS.

  Skrin itu menyokong sambungan kad grafik Nvidia iaitu GSYNC termasuk kadar segar semula 180Hz sesuai untuk genre permainan penembak pertama (FPS).

  Sesuai dengan genre FPS, skrin paparan itu mempunyai kadar tindak balas ultra pantas iaitu 0.5ms dan turut menyokong VESA DisplayHDR 400.

  Untuk siri Nitro pula, Acer memperkenalkan Nitro XV272U KV yang menawarkan paparan QHD resolusi 2560 x 1440 dengan kadar bacaan rendah untuk skala Delta di bawah E

  Paparan ini menawarkan kadar segar semula 170Hz yang boleh ditala manakala untuk tindak balas pada kadar 1ms.

  Anggaran tanda harga untuk Predator X34 GS ialah RM4,000 manakala bagi Nitro XV272U KV sekitar RM1,800.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 10:50 PM