Variasi Samsung S20 FE.
Variasi Samsung S20 FE.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Samsung melancarkan siri Galaxy S20 FE (Fan Edition) yang didatangkan dengan dua versi khusus iaitu sambungan 4G dan 5G untuk pilihan pengguna.

Pelancaran variasi daripada produk S20 itu dilakukan malam tadi dan Samsung membuat pembaharuan daripada aspek padanan pemproses.

Untuk versi 5G, pemproses yang akan digunakan adalah Qualcomm Snapdragon 865 manakala untuk model 4G adalah Exynos 990.

Menyentuh aspek spesifikasi peranti, variasi S20 FE itu didatangkan dengan skrin berkeluasan 6.5 inci dengan teknologi SAMOLED Definisi Penuh Dipertingkatkan (FHD+).

Paparan untuk peranti ini mempunyai keupayaan 120Hz kadar segar semula dan sememangnya sudah menjadi trend pada masa kini untuk memiliki telefon pintar yang mempunyai talaan skrin baik bagi pengalaman permainan.

Padanan memori pula sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB bersama bateri 4,500mAh dengan sokongan pengecas pantas 25W dan menyokong pengecas tanpa wayar.

Peranti ini menyokong sokongan kad mikro SD sehingga storan berjumlah 1TB.

Samsung kali ini membuat sedikit kelainan apabila pengecas yang didatangkan dengan peranti hanya 15W dan jika pengguna mahu pengecasan pantas perlu membeli secara berasingan.

Peranti ini menggunakan tetapan kamera tiga lensa dengan keupayaan 12 Megapiksel (MP) + 12MP + 8MP dilengkapi lensa sudut ultra lebar sehingga kepada telefoto.

Samsung Galaxy S20 FE akan ditawarkan di Malaysia pada harga RM3,399 dan boleh pra tempahan bermula hari ini.

Versi yang ditawarkan adalah hadir dengan Snapdragon 865, 8GB RAM dan 256GB storan. Pelanggan yang membuat pra-tempahan akan menerima Samsung UV Sterilizer, jaminan perlindungan skrin dan beberapa barangan lagi.

Spesifikasi

Pemproses: Snapdragon 865 / Exynos 990

RAM: Sehingga 8GB

Storan: 256GB

Kamera: 12MP + 12MP + 8MP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 12:22 PM