Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT elektronik terkemuka dan jenama kelas permainan, MSI memperbaharui barisan produk mereka susulan pengenalan unit pemproses grafik (GPU) baharu seperti yang diumumkan Nvidia awal pagi tadi.

Kali ini, MSI menampilkan dua barisan produk mereka iaitu daripada siri Gaming Trio dan Ventus yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Generasi kedua kad grafik daripada siri RTX berkenaan menaik taraf pelbagai cip pemproses termasuk penambahan drastik jumlah teras CUDA untuk tiga siri berkenaan iaitu Nvidia GeForce RTX 3070, RTX 3080 dan kelas premium RTX 3090.

Bagi siri Gaming, MSI mengekalkan kod nama 'Gaming Trio' dan 'Gaming X' seterusnya mengekalkan kecemerlangan kad grafik berkenaan seperti pencapaian dalam siri RTX 2000 malah menambah baik sistem penyejukan dan siri berkenaan diklasifikasikan sebagai perkakas kelas premium.

Kad daripada barisan Gaming Trio sememangnya terkenal dengan talaan prestasi lebih baik di samping teknologi kipas penyejukan yang mengekalkan tahap bingar pada kadar minimum.

Untuk siri RTX 3000, Gaming Trio memperkenalkan sistem penyejukan ditambahbaik iaitu TORX Fan 4.0 dan kad berkenaan mempunyai sistem penyejukan FROZR 2 bagi mengekalkan suhu pada tahap optimum walaupun ketika kefungsian penuh (full load).

MSI juga mengekalkan plat pelindung belakang yang bukan saja bertujuan untuk kosmetik serta pengukuhan kad grafik itu, sebaliknya turut bertindak sebagai sistem penyejukan pasif menerusi pad haba terbina.

MSI Gaming Trio juga didatangkan dengan keupayaan pencahayaan 'Mystic Light' yang boleh diubahsuai menerusi perisian dan ia menambah nilai kosmetik terhadap kad berkenaan.

Siri Ventus pula didatangkan dengan sistem TORX 3.0 yang dipertingkatkan dan pengguna mempunyai pilihan kad dilengkapi tiga atau dua unit kipas penyejuk mengikut kesesuaian kepenggunaan.

MSI dijangka akan membuat pengenalan penuh bagi produk mereka malam ini termasuk talaan terhadap siri RTX 3000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 8:15 PM