Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

DUNIA pada hari ini giat membina infrastruktur jaringan telekomunikasi paling maju iaitu 5G, sekali gus memperbaiki kecacatan dalam jaringan generasi terdahulu 4G yang mempunyai kadar kelengahan yang tinggi.

Sejajar dengan arus berkenaan, Malaysia tidak ketinggalan untuk terus memperkemaskan sistem jaringan sedia ada termasuk membina keupayaan logistik, sekali gus rakyat di negara ini mampu menikmati jaringan paling pantas sama seperti negara maju lain.

Kerajaan juga sudah mengumumkan pelan pembangunan jaringan 5G untuk tempoh akan datang supaya negara ini tidak ketinggalan dalam kemajuan sistem jaringan sedia ada.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan pembangunan sebuah pelan infrastruktur digital dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara mengikut Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025).

PAKAR perubatan juga boleh lakukan pembedahan secara maya apabila kelewatan penghantaran data (Ping) mampu dikurangkan dengan penggunaan jaringan 5G.
PAKAR perubatan juga boleh lakukan pembedahan secara maya apabila kelewatan penghantaran data (Ping) mampu dikurangkan dengan penggunaan jaringan 5G.

Hujung minggu lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa JENDELA yang dirangka melalui satu sesi makmal, menjadi landasan penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.

Beliau menjelaskan, pelan tindakan itu dilaksanakan secara berfasa, dengan Fasa 1 yang sudah pun berjalan memberi fokus pada akses dan kelajuan jalur lebar serta menamatkan rangkaian 3G, manakala Fasa 2 menumpukan peralihan kepada 5G.

"Fasa 1 yang bermula sekarang akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

"Ini juga akan membabitkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

"Fasa 2 iaitu peralihan kepada 5G akan disusuli selepas platform yang kukuh dalam Fasa 1 ini dapat dicapai, selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12," katanya.

PELAKSANAAN infrastruktur 5G menjadikan Malaysia antara negara rantau Asia Tenggara terawal yang mempunyai teknologi berkenaan.
PELAKSANAAN infrastruktur 5G menjadikan Malaysia antara negara rantau Asia Tenggara terawal yang mempunyai teknologi berkenaan.

Menerusi pelan berkenaan, ia membuktikan komitmen kerajaan untuk memberi keutamaan kepada arus kemajuan teknologi hari ini memandangkan jaringan 5G dikelaskan sebagai 'jaringan pemboleh industri' (enabling industrial) memandangkan sistem baharu berkenaan banyak memberi manfaat kepada segmen berkenaan.

Contohnya, industri perladangan yang menggunakan pemetaan dron boleh digunakan apabila dron berkenaan menghantar siaran langsung kepada pusat kawalan berkaitan pemantauan serta pembenihan tumbuhan secara lebih efektif.

Segmen keselamatan juga menikmati faedah besar apabila pemantauan di kawasan sempadan boleh dilakukan menerusi dron atau kamera yang menghantar isyarat langsung dengan resolusi Definisi Ultra Tinggi (UHD) kepada pusat kawalan.

Pakar perubatan juga boleh melakukan pembedahan secara maya apabila kelewatan penghantaran data (Ping) mampu dikurangkan dengan penggunaan jaringan 5G.

Ini memberi gambaran kewujudan teknologi berkenaan bukan saja memberi faedah kepada pengguna dengan penawaran jaringan Internet kelajuan tinggi sebaliknya memberi ruang kepada industri dalam skala besar.

Langkah awal negara dalam pelaksanaan infrastruktur 5G akan menjadikan Malaysia antara negara rantau Asia Tenggara terawal yang mempunyai teknologi berkenaan selain Singapura.

JARINGAN 5G beri keupayaan kepada industri untuk laksana sistem automasi robot.
JARINGAN 5G beri keupayaan kepada industri untuk laksana sistem automasi robot.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 7:00 AM