Penghala RT-AX86U menyokong jaringan WiFi 6 dengan kelajuan pemindahan data purata sehingga 5,700Mbps.
Penghala RT-AX86U menyokong jaringan WiFi 6 dengan kelajuan pemindahan data purata sehingga 5,700Mbps.

Muhammad Saufi Hassan

[email protected]

ASUS mengumumkan penghala dua sokongan untuk jaringan tanpa wayar (WiFi) 6 yang direka khusus untuk 'gamers' sekali gus mengurangkan kelengahan pemindahan data.

Penghala RT-AX86U adalah versi naik taraf bagi penghala RT-AC86U dan ia menyokong jaringan WiFi 6 dengan kelajuan pemindahan data purata sehingga 5,700Mbps.

Pengguna tidak memerlukan sambungan pemasangan yang rumit sebaliknya talaan prestasi boleh dilaksanakan menerusi tetapan aplikasi ASUS Router App saja dengan mudah.

Penghala ini juga didatangkan bersama sokongan pencucuk 2.5Gbps sekali gus memberikan kelajuan sebenar untuk capaian berkenaan.

RT-AX86U menawarkan semua keupayaan WiFi 6 seperti kelajuan data yang pantas, jaringan lebih efisien dan mampu untuk menjangkau jarak capaian lebih luas berbanding versi sebelumnya.

Pengguna yang mendapatkan penghala berkenaan boleh melakukan beberapa talaan prestasi khusus seperti untuk mod 'Permainan Mudah Alih' menggunakan aplikasi ASUS Router dan sistem penghala akan memberi keutamaan kepada peranti mudah alih.

Perkakas ini juga mendapat pengiktirafan daripada Nvidia GeForce NOW sebagai penghala terbaik dalam kelasnya terutama untuk pengalaman permainan yang terbaik.

Tanda harga bagi penghala ini adalah RM1,399 dan pembelian boleh dilakukan di semua kedai rasmi ASUS.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 8:17 PM