HUAWEI MatePad Pro 5G dilengkapi spesifikasi termaju serta tablet pertama yang menyokong jaringan 5G. - FOTO Google
HUAWEI MatePad Pro 5G dilengkapi spesifikasi termaju serta tablet pertama yang menyokong jaringan 5G. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


KEPENGGUNAAN tablet hari ini bukan lagi satu aksesori tambahan untuk pengguna sebaliknya menjadi perkakasan wajib terutama dalam waktu masyarakat mengadaptasi normal baharu dalam kehidupan apabila setiap tugasan boleh dilaksanakan di mana saja tidak mengira waktu atau tempat.

Jika pengenalan tablet di pasaran sekitar lima tahun lalu, tablet masih dianggap sebagai aksesori tambahan memandangkan ketika itu tidak banyak tablet yang menawarkan spesifikasi serta pengalaman antara muka yang baik.

Penulis kagum dengan keupayaan tablet tercanggih keluaran Huawei iaitu MatePad Pro 5G kerana ia adalah tablet pertama yang menyokong keupayaan jaringan telekomunikasi Generasi Ke-5 atau 5G, sekali gus menawarkan pengalaman kelajuan Internet yang sangat baik.

Kirin 990 5G bukan sahaja menyokong rangkaian teras bukan persendirian (NSA) dan persendirian (SA), ia juga dapat memastikan kestabilan transmisi 5G dan penggunaan tenaga rendah.

Menyentuh aspek spesifikasi, Huawei MatePad Pro 5G dikuasakan dengan pemproses termaju iaitu Kirin 990 dengan cip terbina jaringan 5G serta dipadankan bersama keupayaan memori (RAM) 8GB, sekali gus sesuai untuk melancarkan semua aplikasi berat.

BOLEH digunakan bersama papan kekunci dan M-pensil untuk memastikan tugasan lebih efektif. - FOTO Google
BOLEH digunakan bersama papan kekunci dan M-pensil untuk memastikan tugasan lebih efektif. - FOTO Google

Kapasiti storan untuk MatePad Pro 5G juga didatangkan 256GB dan ia sangat sesuai untuk menyimpan pelbagai aplikasi, fail, gambar mahupun video berdefinisi tinggi.

Tablet berteknologi tinggi ini juga adalah tablet pertama di dunia yang menyokong pengecasan tanpa wayar dan membantu mengecas peranti tanpa wayar yang lain dan bateri peranti mudah alih ini mampu bertahan sehingga 10 jam dengan kepenggunaan optimum.

Ciri lain yang menarik ialah ditawarkan HUAWEI Share yang berfungsi sebagai multi-skrin, membantu mencerminkan skrin telefon pintar pada paparan MatePad Pro 5G yang tidak dapat dijumpai pada tablet jenama lain.

Pengguna hari ini cenderung untuk memilih ekosistem pintar dan Huawei menawarkan kemudahan berkenaan dengan tablet ini dan semua rangkaian produknya.

Tablet ini juga disokong dengan Huawei MeeTime bagi membolehkan pengguna membuat panggilan video antara tablet dan telefon bimbit berdefinisi tinggi (HD).

Bagi pengguna yang agak skeptikal berhubung keupayaan tablet boleh mirip seakan laptop, sebenarnya tablet ini mampu ditukar kepada mod komputer kerana ia boleh digunakan bersama papan kekunci dan M-pensil untuk memastikan tugasan lebih efektif.

DIDATANGKAN dalam saiz 90 peratus nisbah skrin terbesar. - FOTO Google
DIDATANGKAN dalam saiz 90 peratus nisbah skrin terbesar. - FOTO Google

Ciri lain pastinya saiz tablet yang memuaskan hati kerana ia didatangkan dalam saiz 90 peratus nisbah skrin terbesar berbanding jenama hebat yang lain yang menawarkan sehingga antara 83 peratus saja.

Secara keseluruhannya, penulis amat kagum dengan keupayaan tablet berkenaan kerana sepanjang menggunakannya, ia sangat berkuasa malah pantas dalam melancarkan sebarang aplikasi.

Kepelbagaian tugas serta antara muka juga sangat baik apabila penulis pernah menguji membuka puluhan tetingkap lain dengan bermacam aplikasi dan tablet Huawei MatePad Pro 5G masih mampu beroperasi dengan lancar tanpa sebarang 'lagged' atau lengah yang panjang.

Selain untuk tujuan tugasan, tablet ini juga mampu untuk melancarkan permainan dan skrin paparan HD yang ditawarkan memberikan kejelasan pada imej serta pengalaman permainan lebih baik untuk pengguna.

SPESIFIKASI

1) PEMPROSES:Kirin 990

2) RAM:8GB

3) STORAN:256GB

4) AKSESORI:Papan kekunci menggunakan sambungan NFC dan M-Pencil untuk tugasan khusus / Huawei MeeTime memberikan keupayaan kepada pengguna melakukan panggilan HD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 6:40 AM