APPLE melancarkan iPhone SE 2020 menggunakan pemproses sama dengan iPhone 11.
APPLE melancarkan iPhone SE 2020 menggunakan pemproses sama dengan iPhone 11.
Muhammad Saufi Hassan

MUNGKIN apabila memperkatakan mengenai produk keluaran Apple, pastinya perkara awal yang muncul adalah 'harga keras' untuk sebarang peranti menggunakan logo berkenaan walaupun setiap produk keluaran syarikat ini sebenarnya berbaloi untuk setiap sen yang dilaburkan.

Namun, pengguna lebih memilih kepada peranti yang mesra 'poket' memandangkan tidak ramai sanggup mengeluarkan 'dana' peribadi yang banyak untuk memiliki telefon pintar atau sebarang peranti lain yang dirasakan bersesuaian.

Untuk itu, apa kata penulis cadangkan iPhone SE 2020 yang bukan saja mesra dengan poket pengguna sebaliknya menawarkan spesifikasi telefon pintar kelas mercu dengan penawaran kualiti serta prestij jenama yang sangat baik.

Dalam erti kata yang lebih mudah, iPhone SE 2020 adalah 'pembunuh' kepada peranti mercu lain memandangkan tanda harga yang ditawarkan adalah sangat baik selain penawaran spesifikasi terutama pemproses yang sama digunakan oleh barisan iPhone 11.

Minggu lalu, Apple baru melancarkan peranti ini yang boleh diklasifikasikan sebagai kelas pertengahan namun keupayaannya boleh menyamai peranti kelas mercu untuk produk keluaran syarikat lain dan ia sudah pasti satu kelebihan untuk Apple.

PERANTI terbaharu keluaran Apple ini boleh diklasifikasikan sebagai 'pembunuh' peranti kelas mercu.
PERANTI terbaharu keluaran Apple ini boleh diklasifikasikan sebagai 'pembunuh' peranti kelas mercu.

Penulis boleh mengatakan setiap kali pengeluaran produk tertentu, Apple sentiasa memastikan tahap terbaik produk mereka dan situasi sama untuk iPhone SE 2020 ini.

Menyentuh aspek spesifikasi, peranti berkenaan menggunakan pemproses Apple Bionic A13 iaitu pemproses sama dengan siri iPhone 11 dan ia dilengkapi skrin berkeluasan 4.7 inci dengan padanan panel paparan teknologi LCD Retina.

Apple kali ini menawarkan tiga variasi iPhone SE bermula daripada kapasiti 64GB, 128GB dan 256GB mengikut kesesuaian pengguna.

Bagi tetapan kamera pula, Apple menaik taraf sistem lensa dengan kamera utama keupayaan 12 Megapiksel (MP) dan lensa depan 7MP.

Peranti ini turut mengekalkan penggunaan 'butang kembali' Home Button dengan pengimbas cap jari Touch ID sekali gus mengekalkan tahap keselamatan peranti.

Peranti iPhone SE 2020 ini mempunyai sokongan Haptic Feedback, dilengkapi dengan perlindungan kalis air IP67 dan sokongan teknologi paparan video HDR10.

Pengguna juga boleh melakukan pengecasan tanpa wayar untuk model berkenaan kerana ia turut menyokong Qi Wireless Charging.

Tanda harga untuk iPhone SE 2020 bagi pasaran tempatan adalah RM1,999 bagi model kapasiti memori 64GB dan RM2,699 untuk model 256GB. Warna yang ditawarkan adalah hitam, putih dan merah.

Versi baharu iPhone SE ini juga berkeupayaan untuk merakam video dalam resolusi 4K pada 60 bingkai sesaat dan ia dilengkapi dengan teknologi penstabilan untuk memberi kualiti video mengagumkan.

Pengguna juga boleh melakukan penyuntingan video hanya menerusi peranti mereka dan ia dilengkapi dengan pelbagai ciri baharu berbanding versi sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:30 AM