SKRIN paparan Predator menawarkan kadar segar semula 144Hz sesuai untuk semua jenis permainan.
SKRIN paparan Predator menawarkan kadar segar semula 144Hz sesuai untuk semua jenis permainan.
Muhammad Saufi Hassan

BAGI setiap ‘kaki games’ sudah semestinya sangat mementingkan pemilihan skrin paparan bukan saja untuk kepuasan ketika permainan serta menikmati kesan grafik paling unggul, namun untuk kesesuaian pelbagai tugasan lain seperti sintesis video atau penyuntingan gambar yang memerlukan ketepatan warna.

Bagaimanapun, kebanyakan skrin paparan yang mempunyai spesifikasi berkenaan mempunyai tanda harga yang ‘sangat keras’ dan tidak semua kaki ‘games’ mampu untuk memilikinya.

Namun, Acer bijak dalam pemilihan skrin paparan apabila melancarkan satu lagi produk untuk segmen permainan iaitu Predator XB273UG S, versi skrin paparan terbaru untuk barisan produk XB271HU yang dilancarkan beberapa tahun lalu.

Predator jenama perkakasan komputer bagi segmen permainan yang terkenal menerusi pelbagai produk antaranya laptop, skrin paparan dan beberapa produk lagi.

Menyentuk aspek teknikal, skrin paparan untuk Predator XB273UG S ini bersaiz 27 inci menggunakan teknologi IPS dan jenis skrin LED untuk memberikan tona warna lebih baik terutama bagi resolusi 2K.

Skrin ini menawarkan paparan resolusi 2,560 x 1,440 dan mempunyai kadar segar semula 144Hz bagi penggunakan sambungan DisplayPort manakala jika menggunakan sambungan HDMI, kadar segar semula pada tahap 60Hz.

TANDA harga yang mampu milik menjadikan ia pilihan pengguna serta kaki ‘games’.
TANDA harga yang mampu milik menjadikan ia pilihan pengguna serta kaki ‘games’.

Pengguna boleh melakukan penalaan maksimum untuk tahap kadar segar semula sehingga 165Hz dan ia sesuai untuk semua jenis permainan terutama jika pengguna cenderung untuk menggunakan genre permainan penembak pandang pertama atau pengembaraan jenis RPG.

Ia juga menyokong sambungan GSYNC untuk kad grafik keluaran Nvidia, sekali gus mengelakkan gangguan pegun pada skrin yang biasanya ditemui ketika bermain sebarang genre permainan.

Menyentuh aspek spesifikasi, skrin ini mempunyai beberapa input sambungan seperti HDMI, DisplayPort 1.4 dan dibina dengan pembesar suara supaya membolehkan pengguna memilih perkakas suara yang sesuai.

Penulis mencuba sendiri skrin paparan berkenaan dan hasilnya begitu mengagumkan memandangkan ia bukan saja memberikan kadar segar semula yang ideal untuk semua jenis genre permainan.

Jenis permainan yang diuji adalah Call of Duty: Modern Warfare 2019 untuk genre FPS dan Assassin’s Creed Odyssey (AC:Odyssey) memandangkan kedua-dua permainan berkenaan memerlukan keupayaan kad grafik dan padanan skrin paparan yang baik untuk melihat kesan mengagumkan.

Hasilnya sangat mengagumkan apabila tiada lagi gangguan pegun pada skrin, malah lebih menarik harga yang ditawarkan untuk Predator ini adalah diklasifikasikan sebagai mampu milik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 6:30 AM