PAKAR keselamatan siber berpandangan wujud trend ancaman serangan siber sepanjang tempoh PKP.
PAKAR keselamatan siber berpandangan wujud trend ancaman serangan siber sepanjang tempoh PKP.

Muhammad Saufi Hassan

[email protected]

KEBANYAKAN rakyat Malaysia hari ini melakukan tugasan harian di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 sekali gus memutuskan rantaiannya.

Konsep bekerja dari rumah atau Working From Home (WFH) ini nampak mudah iaitu hanya melakukan tugasan dan menyiapkan segala kerja menerusi kelengkapan peribadi yang ada, contoh komputer riba.

Namun, cabaran utama kepada konsep ini adalah jaringan Internet dan perkakasan pengguna.

Jika di pejabat, sebarang masalah berkaitan Internet boleh mendapatkan bantuan daripada bahagian teknikal sesebuah syarikat namun bagaimana jika anda di rumah.

Untuk tujuan itu, CyberSecurity Malaysia (CSM) ada mengeluarkan amalan terbaik untuk pengguna yang terpaksa bekerja dari rumah memandangkan wujud risiko serangan siber sepanjang tempoh berkenaan.

Ia bagi mengelakkan sebarang insiden kebocoran data, akses tanpa izin oleh pelaku ancaman, kompromi sistem e-mel perniagaan serta peningkatan aktiviti berkaitan perisian hasad.

CSM menyatakan kebanyakan risiko berlaku akibat daripada konfigurasi sistem rangkaian organisasi yang tidak selamat, kekurangan kesedaran keselamatan siber dan sistem pengguna akhir yang terdedah atau tidak dikemaskini.

Dalam hal ini, pengurus sistem rangkaian dan pengguna Internet iaitu secara individu disaran untuk mematuhi nasihat dan amalan terbaik bagi mengurangkan risiko ancaman siber.

CSM menasihatkan pengguna untuk sentiasa memastikan semua sistem termasuk Rangkaian Persendirian Maya (VPN), peranti infrastruktur dan peranti yang digunakan secara jarak jauh ke persekitaran kerja dikemas kini dengan patch terkini dengan konfigurasi sistem selamat.

Pengguna individu seharusnya tidak dibenarkan untuk log masuk sistem rangkaian kerja menggunakan WiFi awam sebaliknya disarankan untuk menggunakan data peribadi atau data rangkaian di rumah.

SERANGAN boleh berlaku jika pengguna tidak prihatin terhadap persekitaran maya.
SERANGAN boleh berlaku jika pengguna tidak prihatin terhadap persekitaran maya.

Selain itu, pengguna perlu memastikan kata laluan kepada sistem dikemas kini dan disahkan selamat untuk digunakan ketika itu.

CSM juga menasihatkan pengguna untuk sentiasa mengambil langkah berhati-hati terhadap sebarang aktiviti yang mencurigakan kerana penjenayah siber cenderung untuk mengambil peluang daripada situasi semasa bagi menjalankan aktiviti pencerobohan mereka.

Pengguna individu juga digalakkan supaya membuat laporan sebarang tingkah laku yang mencurigakan kepada bahagian teknikal di syarikat masing-masing.

Menerusi nasihat berkenaan, pengguna boleh membuat laporan berhubung insiden keselamatan siber ke Pusat Bantuan Kecemasan Cyber999 menerusi e-mel di [email protected] atau talian kecemasan 1 300 88 2999 bermula 9 pagi hingga 9 malam.

Bagi memudahkan aduan, pengguna juga boleh mengemukakan aduan menerusi talian mudah alih di 019-2665850 atau memuat turun aplikasi Cyber999 di Apple Store atau Google Play.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:46 AM