Data hanya disimpan dalam satu peranti namun masih boleh diakses oleh peranti lain
Data hanya disimpan dalam satu peranti namun masih boleh diakses oleh peranti lain
Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA pada hari ini lebih bijak sebelum membuat pilihan membeli sesebuah peranti berjenama apabila mereka akan memilih jenama atau peranti pintar yang menawarkan ekosistem terbaik.

Secara umumnya, ekosistem adalah sistem lingkungan hidup semula jadi yang terbentuk sebagai hasil daripada tindakan yang menyaling antara benda hidup dengan persekitarannya dan jika dilihat secara imbasan, ekosistem terpakai kepada benda hidup saja atau ‘living things’.

Namun, kemajuan teknologi hari ini turut menuntut kepada keperluan ekosistem alaf baharu apabila setiap peranti akan berinteraksi dengan peranti lain tanpa memerlukan pengguna melakukan tugasan konvensional seperti ‘copy and paste’ sebaliknya, semua tersimpan dalam satu ekosistem pintar saja.

Setiap pengeluar peranti pintar hari ini menawarkan ekosistem mereka masing-masing namun masih wujud ‘kekosongan’ apabila menyentuh aspek interaksi antara peranti.

PERANTI pintar hari ini digunakan untuk pelbagai tugasan dan sudah pastinya pengguna mahukan sesuatu peranti yang boleh diselaraskan.
PERANTI pintar hari ini digunakan untuk pelbagai tugasan dan sudah pastinya pengguna mahukan sesuatu peranti yang boleh diselaraskan.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar elektronik gergasi, Apple memiliki kelebihan yang sangat unik apabila menawarkan ekosistem pintar terbaik setakat ini dan tidak hairan ekosistem kelolaan mereka boleh dianggap ‘raja’ berbanding yang lain.

Penulis turut mempunyai pengalaman yang sama apabila sebelum ini setiap peranti disambungkan dengan ekosistem tersendiri namun masih mempunyai masalah untuk memindahkan data atau maklumat mereka.

Masalah sama yang sering dihadapi adalah melakukan pemindahan maklumat dan wujud juga insiden tidak serasi berkaitan format maklumat daripada satu peranti ke peranti lain.

Bagaimanapun, pengiktirafan kepada ekosistem Apple apabila syarikat berkenaan mampu untuk menawarkan satu ekosistem terbaik yang pernah penulis gunakan memandangkan setiap pemindahan data boleh diselaraskan menerusi satu akaun simpanan awanan (clouds) saja.

Jika pengguna sudah melakukan belian simpanan awanan contohnya berjumlah 1TB secara bulanan, jumlah storan itu boleh digunakan untuk semua peranti keluaran Apple milik pengguna antaranya iPhone, iPad, MacBook dan beberapa peranti pintar keluaran syarikat berkenaan.

Penulis mempunyai iPhone sebagai alat perhubungan manakala iPad digunakan untuk tugasan produktiviti harian dan penulis tidak lagi perlu melakukan aturan ‘copy paste’ antara peranti sebaliknya akan menghidupkan penyelarasan simpanan awanan, semua akses maklumat yang sama boleh digunakan untuk peranti lain seperti MacBook dan sebagainya.

EKOSISTEM pintar Apple menjadi kekuatan kepada jenama berkenaan dan ia masih dianggap raja berbanding penawaran ekosistem lain.
EKOSISTEM pintar Apple menjadi kekuatan kepada jenama berkenaan dan ia masih dianggap raja berbanding penawaran ekosistem lain.

Ekosistem pintar tawaran Apple ini nyata mengubah landskap tugasan harian penulis apabila setiap data hanya disimpan dalam satu peranti namun masih boleh diakses oleh peranti lain yang turut menggunakan storan awanan yang sama.

Pengguna hari ini tidak hanya bergantung kepada spesifikasi sesebuah peranti untuk melakukan pilihan sebaliknya mereka lebih bijak dengan melakukan pilihan peranti yang menawarkan sistem ekosistem yang terbaik.

Peranti pintar hari ini digunakan untuk pelbagai tugasan dan sudah pastinya pengguna mahukan sesuatu peranti yang boleh diselaraskan bersama peranti lain dengan mudah.

Ia adalah ciri pemilihan baharu bagi pengguna masa kini termasuk penulis memandangkan peranti tidak hanya bergantung kepada keupayaan spesifikasi sebaliknya ekosistem menyeluruh yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 6:00 AM