PUTRAJAYA 18 APRIL 2019. Pameran Teknologi Mudah Alih Generasi ke-5 5G di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA 18 APRIL 2019. Pameran Teknologi Mudah Alih Generasi ke-5 5G di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Muhammad Saufi Hassan


JARINGAN telekomunikasi negara ini maju selangkah lagi apabila Telekom Malaysia Berhad (TM) membuktikan keupayaannya dengan membangunkan infrastruktur sendiri dan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) dilaksanakan di Langkawi, Kedah dan Cyberjaya, Selangor.

Menerusi projek demonstrasi berkenaan, TM merubah kepulauan pelancongan itu kepada sistem pusat peranginan pintar apabila ia dilengkapi pelbagai sistem pemantauan masa nyata termasuk sistem pintar.

Secara keseluruhannya, Pulau Langkawi adalah kepulauan pintar pertama di negara ini dan TM memilih lokasi berkenaan sebagai tapak demonstrasi memandangkan ia mempunyai pelbagai landskap berbeza yang membolehkan demonstrasi dilaksanakan dalam skala besar.

Bandar peranginan ini menjadi kepulauan 5G pertama di negara dan lokasi kedua untuk fasa demonstrasi teknologi berkenaan selepas Cyberjaya yang turut mempunyai fungsi sama.

Ciri bandar pintar berkenaan berjaya direalisasikan menerusi kepakaran TM dan kerjasama dengan beberapa agensi negeri lain untuk mewujudkan ekosistem pintar.

Pusat peranginan ini dilengkapi ciri khusus antaranya lampu isyarat pintar, sistem parkir pintar, sektor pertanian pintar, penyelesaian kepada segmen keselamatan dan beberapa kelengkapan lain yang bukan saja memberi faedah kepada industri sebaliknya pengguna secara keseluruhan.

TM dengan kerjasama Majlis Daerah Kuah sudah membina Pusat Kawalan 5G yang menjadi hab pemantauan seluruh pusat peranginan berkenaan bermula daripada kawalan lampu isyarat pintar sehingga kepada kamera pengawasan resolusi tinggi yang memberikan video dalam masa nyata.

DR Sharlene Thiagarajah menerangkan berkenaan 5GDP di Langkawi, Kedah.
DR Sharlene Thiagarajah menerangkan berkenaan 5GDP di Langkawi, Kedah.

Ia juga memperlihatkan bahawa TM mempunyai kepakaran dalam pembangunan infrastruktur sendiri tanpa memerlukan kepakaran luar dan demonstrasi berkenaan mungkin diperluaskan di kawasan lain kelak.

Jaringan 5G juga membolehkan video dalam resolusi ultra tinggi dilihat dalam masa nyata, sekali gus mengatasi masalah kelengahan maklum balas (low latency) seperti yang dihadapi 4G sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan TM, Dr Sharlene Thiagarajah berkata, teknologi 5G itu juga memberi ruang kepada pengguna untuk merasai ciri kehidupan pintar di samping persekitaran yang menyokong kepada ekosistem berkenaan.

“Jaringan 5G ini bukan saja berkaitan dengan telekomunikasi atau Internet berkelajuan tinggi sebaliknya ia merangkumi lebih banyak aspek lain termasuk segmen keselamatan.

JARINGAN 5G mampu memberi faedah besar kepada industri termasuk pertanian apabila setiap pokok mempunyai sensor yang dikawal menerusi panel komputer.
JARINGAN 5G mampu memberi faedah besar kepada industri termasuk pertanian apabila setiap pokok mempunyai sensor yang dikawal menerusi panel komputer.

“Teknologi 5G ini juga kita boleh pasang kamera keselamatan resolusi tinggi yang dilengkapi Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengesan kemasukan pelancong dan menerusi tetapan algorithm yang betul, kita akan dapat lihat bagaimana seseorang pelancong itu.

“Contoh, adakah dia gembira, sedih, cemas atau sebagainya dan kaedah sama boleh digunakan untuk menapis kemasukan pelancong memandangkan kamera ini akan menghantar video secara masa nyata dan ia dapat mengumpul maklumat apabila pelancong melaluinya,” katanya.

TM juga mengambil langkah proaktif untuk menjalinkan kerjasama dengan Huawei menerusi Program Ujian Kebolehoperasian antara pembawa.

PAPARAN masa nyata berkaitan keseluruhan data maklumat dan ia memberikan input dalam masa nyata.
PAPARAN masa nyata berkaitan keseluruhan data maklumat dan ia memberikan input dalam masa nyata.

Program berkenaan memberi fokus kepada ujian untuk rekaan infrastruktur teras persendirian atau ‘Standalone’ (SA) dan ia akan dilaksanakan di lokasi Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di sekitar Langkawi, Kedah.

Ia akan membabitkan ciri-ciri utama teknologi berkenaan dan kefungsian jaringan perkongsian antara pembekal telekomunikasi di negara ini.

Kejayaan ujian kebolehoperasian antara pembawa jaringan ini bakal memberi sumbangan penting dalam usaha negara untuk mempercepatkan penyebaran 5G secara komersil yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 3:00 PM