SET desktop binaan TUF Gaming mempunyai ciri premium di samping keupayaan pelarasan lampu menyegerakkan.
SET desktop binaan TUF Gaming mempunyai ciri premium di samping keupayaan pelarasan lampu menyegerakkan.
Muhammad Saufi Hassan


SUDAH menjadi impian untuk setiap kaki game memiliki binaan desktop yang mengikut tema warna, jenama serta dihiasi dengan lampu LED boleh laras (ARGB) ataupun lampu LED pelarasan menyegerakkan (LED sync) supaya semuanya mengikut alunan warna.

Bermula daripada sistem penyejuk unit pemproses utama (CPU), papan induk, unit pemproses grafik (GPU), papan kekunci, tetikus dan fon telinga, semua peralatan berkenaan boleh diselaraskan menerusi pancaran lampu LED yang sama.

Itu semestinya impian setiap kaki game untuk memiliki desktop sedemikian namun binaan berkenaan kebiasaannya mempunyai tanda harga yang agak ‘keras’.

Bagaimanapun, kaki game boleh memilih set desktop keluaran Asus daripada barisan produk TUF Gaming yang turut menawarkan keupayaan untuk pelarasan menyegerakkan bagi semua perkakasan mereka.

Penulis kagum dengan TUF Gaming kerana menerusi jenama ini, ia bukan saja menawarkan harga mampu milik kepada pengguna malah keupayaan untuk melakukan pelbagai pelarasan menerusi perisian sama seperti jenama premium lain.

Asus terkenal dengan barisan jenama kelas permainan premium mereka iaitu ‘Republic of Gamers’ (ROG) dan kini, TUF Gaming juga menawarkan perkakasan yang hampir sama sekali gus memberi banyak pilihan kepada pengguna.

Untuk set desktop binaan TUF Gaming, penulis memilih beberapa perkakasan utama membabitkan papan induk daripada model TUF Gaming Z390-Plus Gaming manakala GPU menggunakan GTX1660 versi Super daripada barisan produk TUF.

Skrin paparan pula menggunakan TUF Gaming VG27AQ yang menawarkan sokongan sambungan kad grafik keluaran Nvidia iaitu G-SYNC serta kadar segar semula 165Hz.

Paparan pula menggunakan teknologi panel IPS resolusi sokongan 2K (WQHD) dengan 2560 x 1440 menjadikan ia pilihan untuk semua jenis permainan.

Penulis memilih panel IPS bersama resolusi 2K supaya warna yang terhasil lebih tepat dan jelas selain ia sesuai untuk semua genre permainan termasuk aksi dunia terbuka.

Menerusi semua gabungan perkakasan berkenaan, penulis boleh melakukan ubah suai pancaran menyegerakkan dengan perisian Asus TUF Gaming dan memilih mod yang sesuai.

Bajet untuk pembinaan set desktop kelas permainan ini juga tidak terlalu tinggi kerana ia dikategorikan dalam kelas desktop permainan pertengahan, namun mampu bermain pelbagai judul bertaraf AAA.

Secara keseluruhannya, pengguna boleh menjadikan set perkakasan TUF Gaming sebagai pilihan jika mahu keseragaman untuk desktop anda.

Produk daripada TUF Gaming juga mempunyai kualiti bercirikan premium, penawaran harga mampu milik dan memberikan pilihan modifikasi untuk perkakasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 10:59 AM