SISTEM imbasan pengesanan biometrik wajah akan lebih efisien dengan teknologi ini.
SISTEM imbasan pengesanan biometrik wajah akan lebih efisien dengan teknologi ini.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Malaysia mengorak langkah apabila memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta ketika pembentangan Belanjawan 2020 dua minggu lalu.

Ia menjadikan Malaysia satu daripada negara paling awal di Asia Tenggara yang mengambil langkah pembangunan infrastruktur jaringan telekomunikasi Generasi Kelima (5G) berkenaan.

Memastikan jaringan 5G mampu diakses di negara ini bukan saja memberi faedah besar kepada pengguna yang bakal menikmati jaringan Internet berkelajuan tinggi, malah memberi laluan kepada industri berskala besar yang lain.

Kewujudan 5G bukan hanya menawarkan jaringan Internet berkelajuan tinggi sebaliknya membolehkan beberapa industri atau segmen lain beroperasi dengan lebih optimum.

Contohnya, industri perladangan yang menggunakan pemetaan dron boleh digunakan apabila dron berkenaan menghantar siaran langsung kepada pusat kawalan berkaitan pemantauan serta pembenihan tumbuhan secara lebih efektif.

Segmen keselamatan juga menikmati faedah besar apabila pemantauan di kawasan sempadan boleh dilakukan menerusi dron atau kamera yang menghantar isyarat langsung dengan resolusi Definisi Ultra Tinggi (UHD) kepada pusat kawalan.

 INDUSTRI perubatan akan menerima faedah besar hasil penggunaan teknologi 5G secara meluas.
INDUSTRI perubatan akan menerima faedah besar hasil penggunaan teknologi 5G secara meluas.

Pakar perubatan juga boleh melakukan pembedahan secara maya apabila kelewatan penghantaran data (Ping) mampu dikurangkan dengan penggunaan jaringan 5G.

Ini memberi gambaran kewujudan teknologi berkenaan bukan saja memberi faedah kepada pengguna dengan penawaran jaringan Internet kelajuan tinggi sebaliknya memberi ruang kepada industri dalam skala yang besar.

Langkah awal negara dalam pelaksanaan infrastruktur 5G akan menjadikan Malaysia antara negara rantau Asia Tenggara terawal yang mempunyai teknologi berkenaan selain Singapura.

Berdasarkan dapatan, Pertubuhan Pembekal Jaringan Mudah Alih (GSMA) meletakkan Malaysia akan menjadi negara awal yang memiliki teknologi berkenaan berbanding negara lain yang belum mengumumkan langkah pembangunan infrastruktur jaringan itu.

Korea Selatan adalah negara pertama yang melancarkan jaringan 5G secara komersial dan maklum balas daripada penduduk negara itu terutama pemain industri sangat baik.

Teknologi jaringan 5G bukan sekadar penawaran Internet berkelajuan tinggi saja malah ia memberi ruang kepada industri untuk mewujudkan teknologi yang selama ini hanya dibuktikan di peringkat teori.

Pengenalan dana infrastruktur jaringan 5G oleh kerajaan dalam Belanjawan 2020 adalah langkah awal dan ia akan memberi kelebihan kepada negara dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 9:00 AM