Fokus keupayaan spesifikasi, prestasi peranti dan kemampuan kamera.
Fokus keupayaan spesifikasi, prestasi peranti dan kemampuan kamera.
Muhammad Saufi Hassan


TIGA varian telefon pintar milik Apple Inc diperkenalkan pada majlis pengenalan produk dan perkhidmatan baharu syarikat itu yang diadakan di Cupertino, California, Amerika Syarikat (AS) awal minggu ini.

Ia membabitkan iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max yang memberi fokus kepada keupayaan spesifikasi, prestasi peranti juga kemampuan kamera.

Pengenalan iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max yang menggunakan tetapan tiga lensa adalah julung kali untuk siri Apple iPhone dan mereka menjanjikan kualiti imej serta video yang sangat baik menerusinya.

Menyentuh iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max, kedua-dua peranti itu memiliki spesifikasi yang hampir sama namun dibezakan menerusi penambahbaikan pada prestasi kamera.

Peranti berkenaan menggunakan pemproses cip Apple A13 Bionic berbanding varian terdahulu yang menggunakan A12 dan penggunaan cip terbaharu itu menawarkan 20 peratus kuasa lebih baik.

Aspek spesifikasi pula, iPhone 11 Pro didatangkan dengan skrin berkeluasan 5.8 inci manakala varian tinggi iaitu iPhone 11 Pro Max menggunakan saiz 6.5 inci, ia mengekalkan rekaan bagi siri ‘Max’
iaitu hadir dengan skrin lebih besar.

Kedua-dua varian ini menggunakan skrin OLED untuk menghasilkan tona warna pada paparan lebih baik selain menawarkan sokongan HDR.

Prestasi bateri pula, iPhone 11 Pro memberikan empat jam lebihan masa penggunaan berbanding iPhone XS manakala iPhone 11 Pro Max memberikan lebihan lima jam berbanding XS Max.

Apple kali ini menyertakan pengecas pantas 18W bersama pembelian iPhone, tidak seperti sebelum ini apabila pengguna perlu membeli secara berasingan.

Keupayaan kamera pula, Apple menggunakan tetapan tiga lensa yang disusun membentuk segi tiga dan rekaan itu sememangnya berbeza dengan jenama telefon pintar lain.

Kamera utama menggunakan lensa berkeupayaan 12 megapixel (MP), lensa telefoto 12MP dan lensa ultra lebar 12MP.

Ini julung kali Apple menggunakan tetapan tiga lensa bagi peranti telefon pintar mereka dan menjanjikan hasil rakaman video serta gambar lebih berkualiti.

Tanda harga bagi iPhone 11 bermula RM3,399, iPhone 11 Pro RM4,899 manakala iPhone 11 Pro Max pada harga RM5,299 dan pengguna boleh melakukan pilihan storan 64GB, 256GB dan 512GB.

SPESIFIKASI

IPHONE 11 PRO

• PEMPROSES: Apple A13 Bionic

• RAM:4GB

• STORAN:64GB /256GB/512GB

• KAMERA: 12MP + 12MP + 12MP

• BATERI: 3,190mAh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 10:53 AM