PENGHALA ASUS ROG Raptur GT AC-2900 mampu memberi nilai kelajuan maksimum.
PENGHALA ASUS ROG Raptur GT AC-2900 mampu memberi nilai kelajuan maksimum.
Muhammad Saufi Hassan


BAGI setiap kaki game yang gemar bermain genre permainan peperangan atau penembak pertama (FPS) di dalam talian, sudah pasti memerlukan jaringan Internet yang stabil untuk pengalaman bermain yang baik.

Kebiasaannya, kaedah terbaik untuk mengekalkan kestabilan jaringan Internet adalah menggunakan kabel LAN yang disambungkan terus ke penghala (router).

Namun, menggunakan sambungan terus menerusi kabel tidak sepenuhnya menyelesaikan masalah apabila bacaan ‘ping’ di dalam permainan masih menunjukkan kadar yang tinggi.

Istilah ‘ping’ adalah reaksi masa nyata antara sambungan Internet pengguna dengan sistem pelayan permainan berkenaan dan lebih tinggi bacaan ping lebih lambat kadar maklum balas permainan.

Keadaan itu sememangnya memberi masalah besar kepada kaki game kerana kelewatan reaksi berkenaan akan mengakibatkan pemain mungkin ditembak musuh atau pengalaman permainan yang tidak begitu bagus.

Untuk semua masalah itu, penulis mencadangkan kepada kaki games untuk mendapatkan penghala ASUS Republic of Gamers (ROG) iaitu Rapture GT AC-2900 yang menyokong dua ‘band’ sambungan iaitu 2.4GHz dan 5GHz.

Penghala jenis ini turut mendapat perakuan syarikat pengeluar kad grafik terkemuka iaitu NVIDIA dan sangat bersesuaian untuk perkakasan GeForce terutama menghasilkan pengalaman permainan yang lebih baik.

Rapture GT AC-2900 menyokong tiga lapisan kelajuan permainan dan memberikan sambungan stabil walaupun pemain menggunakan sambungan tanpa wayar (WiFi) saja.

Penghala ini juga dilengkapi dengan teknologi AiMesh iaitu penggabungan beberapa penghala ASUS atau ROG untuk menjadikan sebuah sistem WiFi kediaman yang sangat baik serta stabil.

JARINGAN tanpa wayar yang dihasilkan oleh penghala ASUS ROG sangat stabil.
JARINGAN tanpa wayar yang dihasilkan oleh penghala ASUS ROG sangat stabil.

Bagi jenama penghala lain, masalah utama yang sering dihadapi pengguna adalah struktur rumah yang mempunyai ‘zon tiada sambungan’ (WiFi Dead Zone) terutama bagi jenis kediaman lebih dua tingkat.

Setiap penghala mempunyai jarak atau jangkauan liputan efektif dan jika berada di luar lingkungan itu, pengguna bakal berdepan masalah jaringan Internet.

Menerusi ASUS AiMesh, pengguna boleh menggabungkan mana-mana penghala ASUS atau ROG untuk menjadi satu sistem Internet tanpa wayar di rumah yang sangat baik dan stabil.

ASUS ROG Rapture GT AC-2900 ini juga dilengkapi dengan sistem mod pencahayaan ASUS Aura Lighting dan warna lampu berkenaan boleh diubah menerusi aplikasi terbina.

Keupayaan penghala ini juga mampu untuk memberikan jaringan dalam lingkungan yang luas dan ia sangat sesuai untuk kaki game yang mahukan sambungan Internet stabil serta bacaan ping rendah ketika di dalam permainan.

Namun, penghala ini tidak datang dengan harga yang rendah memandangkan ia adalah penghala kelas prestasi tinggi dan pengguna perlu melakukan pelaburan untuk hasil yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 1:13 PM