ASUS Phoenix menawarkan prestasi yang baik untuk kad grafik kelas permulaan.
ASUS Phoenix menawarkan prestasi yang baik untuk kad grafik kelas permulaan.
Muhammad Saufi Hassan


JENAMA terkemuka sukan elektronik, ASUS meneruskan penguasaan bagi segmen perkakasan komputer apabila melancarkan generasi baru kad grafik bagi siri Nvidia GeForce GTX 1650.

Bagi kad grafik itu, beberapa produk barisan utama ASUS iaitu Republic of Gamers (ROG), Dual dan Phoenix menawarkan prestasi yang berbeza termasuk ciri unik pada kad berkenaan.

Untuk ASUS Dual GeForce GTX 1650, ciri utama yang ditampilkan adalah dilengkapi teknologi rintangan habuk iaitu IP5X dan kad berkenaan menjalani tempoh ujian selama 144 jam bagi memastikan ketahanannya.

Kad bagi siri Dual ini menawarkan teras CUDA sebanyak 896 dan bagi mod OC mampu untuk mencecah 1,755Mhz manakala mod permainan sekitar 1,725Mhz.

Pengguna yang mendapatkan kad ini turut ditawarkan dengan sambungan HDMI 2.0b, DisplayPort 1.4 dan DVI-D.

Ia adalah sambungan yang digunakan kebanyakan kad generasi baru yang ditawarkan di pasaran.

Untuk siri Phoenix pula, mod OC boleh mencecah 1,710Mhz manakala untuk permainan, ia mencecah 1,680Mhz dan turut dilengkapi sambungan yang sama dengan siri Dual.

Kad grafik keluaran ASUS berkenaan mampu untuk bermain sebarang judul permainan terkini bertaraf AAA dengan resolusi 1080p kerana ia adalah generasi baru menggantikan siri terdahulu iaitu GTX 1050.

Kad grafik bagi siri Dual dilengkapi dua kipas untuk memastikan tahap penyejukan maksimum sepanjang permainan manakala bagi Phoenix pula dilengkapi kipas tunggal.

Bagi peminat sukan elektronik yang mahu bermain permainan terkini, kad GTX 1650 ini adalah pilihan terbaik jika tidak mempunyai bajet yang tinggi untuk menaik taraf perkakasan komputer.

Harga yang ditawarkan bagi ASUS Dual GTX 1650 adalah RM799 manakala untuk Phoenix adalah RM699.

Ia harga yang relevan untuk kad grafik kelas permulaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 9:26 AM