Muhammad Saufi Hassan


PANGGILAN berbentuk ‘hologram’ bakal menggantikan panggilan video apabila negara menggunakan capaian Internet berkelajuan 5G kelak.

Ia juga adalah pencapaian dunia telekomunikasi apabila kelajuan 5G berkenaan memberikan kelajuan maksimum pada 20Gbps sekali gus mengelakkan sebarang gangguan ketika menggunakan panggilan jenis itu.

Syarikat telekomunikasi Celcom menampilkan demonstrasi panggilan hologram yang mengagumkan sempena Pameran 5G Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Putrajaya, hari ini.

Panggilan hologram yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Mohamad Idham Nawawi memaklumkan bahawa pencapaian teknologi 5G akan memberi faedah dalam banyak aspek.

“Panggilan hologram ini boleh dibuat apabila kita sudah mempunyai jaringan 5G dan keluarga boleh bersua muka walaupun ada dalam kalangan anak-anak yang berada di perantauan.

“Teknologi ini bukan saja untuk kekeluargaan, malah mampu untuk memperluaskan dalam bidang perubatan apabila doktor menjalani pembedahan, petani mampu untuk menghasilkan produk lebih baik dan berbagai lagi faedah,” katanya.

Mohamad Idham berkata, negara juga akan mengecapi jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi yang hampir sama dengan kelajuan kabel optik dan ini akan merangkumi kawasan yang di luar capaian jaringan Internet berasaskan optik.

Beliau berkata, jalur lebar kelajuan tinggi itu umpama ‘kabel optik di udara’ dan teknologi itu boleh dicapai apabila negara membangunkan infrastruktur jaringan 5G.

“Kami sebagai syarikat telekomunikasi sangat gembira dengan perkembangan ini dan sekali lagi boleh bekerjasama dengan kerajaan dan pembuat dasar untuk memastikan setiap peringkat masyarakat merasai kemajuan teknologi ini,” katanya.

Malaysia kini sedang giat membangunkan rangkaian 5G yang mampu mencapai kelajuan 20Gbps.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:00 PM
PANGGILAN hologram yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Mohamad Idham Nawawi memaklumkan bahawa pencapaian teknologi 5G akan memberi faedah dalam banyak aspek. FOTO Muhammad Saufi Hassan
PANGGILAN hologram yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Mohamad Idham Nawawi memaklumkan bahawa pencapaian teknologi 5G akan memberi faedah dalam banyak aspek. FOTO Muhammad Saufi Hassan