Muhammad Saufi Hassan

DUNIA teknologi hari ini semakin mengorak langkah melalui penggunaan jaringan 5G yang memberikan kadar kelajuan lebih pantas dan stabil.

Jika sedekad lalu, teknologi 5G ini mungkin hanya sebagai teori, namun hari ini tidak lagi apabila teknologi itu sudah mula diperkenalkan dan bakal digunakan secara meluas dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Bagaimanapun, tempoh 12 bulan itu mungkin terlalu awal memandangkan wujud persoalan yang lebih besar iaitu adakah infrastruktur sedia ada di negara ini mampu untuk menggunakan landskap 5G atau perlunya naik taraf secara berperingkat supaya teknologi ini boleh digunakan.

Ia bukan lagi satu angan-angan apabila beberapa pemain industri utama dalam segmen telefon pintar iaitu Samsung dan Huawei sudah sedia untuk mengeluarkan produk mereka yang turut menyokong teknologi berkenaan.

Secara asasnya, teknologi 5G sudah wujud namun adakah kegunaannya praktikal untuk peringkat awal ini atau memerlukan lebih banyak masa untuk pembangunan infrastruktur?

Kini, kebanyakan kawasan utama di negara sudah menikmati jaringan 4G+ yang memberikan akses data paket yang baik dan stabil.

Mungkin masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang belum begitu arif tentang teknologi 5G dan apakah kebaikan jika teknologi itu dapat mendarat di negara ini secepat mungkin?

Teknologi 5G ini adalah generasi kelima jaringan tanpa wayar yang memberikan kelebihan dalam aspek kelajuan serta kestabilan.

Hansen beri taklimat berhubung penggunaan IT pada 2019.
Hansen beri taklimat berhubung penggunaan IT pada 2019.

Menerusi data 5G, jaringan ini menyokong kelajuan melebihi 10Gbps iaitu 10 hingga 100 kali ganda lebih laju berbanding jaringan sedia ada iaitu 4G atau 4.5G (LTE).

Jaringan 5G ini bakal memberi kesan paling besar dalam industri sekali gus memperbaiki sebarang kekangan kemajuan sebelum ini.

Menerusi bacaan data untuk teknologi 5G, ia mampu untuk memberikan satu milisaat ‘latency’ dan keadaan itu membolehkan kemajuan dalam aspek pemanduan robot direalisasikan kerana mempunyai ciri ‘latency’ yang rendah berbanding teknologi sedia ada.

Ia juga mampu meningkat­kan kegunaan ‘bandwidth’ kepada 1,000 kali ganda setiap unit kawasan dan menyokong lebih daripada 100 kali ganda jumlah peranti yang menggunakan jaringan sama untuk satu-satu kawasan berbanding jaringan 4G LTE.

Perkara itu juga diakui oleh Naib Presiden Bahagian Kajian Telenor, Bjorn Hansen yang melihat kepada kemunculan ‘kepulauan’ 5G apabila dua tahun lalu, banyak ujian dilaksanakan membabitkan sistem jaringan 5G.

Menurutnya, topik utama yang sering diperkatakan adalah mampukah komputer dengan jarak dekat berhubung dengan stesen isyarat dengan frekuensi 5G?

“Pada tahun lalu, kita melihat penggunaan rintis 5G seperti liputan dron 5G di Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan dan kemunculan kepulauan 5G itu makin ketara apabila kita memasuki 2019.

“Kita sudah menjang­kakan tahun ini, projek ujian itu akan merangkumi serata dunia membabitkan projek perintis berskala besar dari Eropah ke Amerika Utara dan timur laut Asia.

“Ini menghubungkan komuniti dan rangkaian

perniagaan terpilih. Pendigitalan masyarakat adalah kata kunci dalam kalangan pengendali, badan berkaitan industri dan kerajaan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Bjorn berkata, walaupun standard global untuk 5G hanya akan bermula pada 2020, orang ramai akan melihat kemajuan komersial 5G bermula tahun ini dengan beberapa pemain utama industri akan mula mengorak langkah ke arah itu.

KEPULAUAN 5G akan mula kelihatan pada tahun ini dengan beberapa negara memulakan projek perintis.
KEPULAUAN 5G akan mula kelihatan pada tahun ini dengan beberapa negara memulakan projek perintis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:22 PM