TIDAK ada alasan membolehkan suami atau isteri bersikap acuh tak acuh terhadap pasangan. GAMBAR hiasan.
TIDAK ada alasan membolehkan suami atau isteri bersikap acuh tak acuh terhadap pasangan. GAMBAR hiasan.
Siti Nadirah Hafidzin


BUANG tabiat ke awak tersenyum-senyum pandang saya? Eh malulah orang tengok nak pegang-pegang tangan! Jalan saja sendiri, bukannya kanak-kanak kecil lagi mahu jalan berpegangan tangan.

Tersentak perasaan isteri tatkala cuba menzahirkan rasa sayangnya namun disindir teruk suami yang kononnya malu dipandang umum.

Tidak menyalahkan sepenuhnya kepada lelaki kerana situasi sama juga terjadi kepada sesetengah golongan itu yang cuba bersikap romantis namun tidak diterima isteri.

Jika dikaji, pelbagai faktor mungkin menjadi penyebab mengapa situasi itu terjadi kepada pasa­ngan berkahwin walhal menunjukkan kasih sayang itu amat penting dalam membina sebuah mahligai perkahwinan yang kukuh.

Berkongsi tip dan pandangan mengenai situasi itu, kaunselor keluarga, Zumasni Rajikin berkata, seperti makanan dan air yang diperlukan setiap manusia untuk membina tubuh yang sihat dan kuat, begitu juga pasangan suami isteri yang sangat perlu saling menunjukkan kasih sayang.

“Biarpun sudah lama berkahwin atau melebihi 10 tahun, anda masih perlu menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan antara satu sama lain.

“Kasih sejati tidak mementingkan diri kerana seseorang yang benar-benar mengasihi pasa­ngannya akan berusaha membuat pasangan gembira dan berasa dihargai. Ingatlah walau bagaimana situasi anda, penat atau sulit, layan pasangan sebaik mungkin kerana percaya atau tidak, mereka jugalah antara pengubat segala kekusutan anda,” katanya.

Katanya, tidak ada alasan bagi membolehkan mana-mana suami atau isteri bersikap acuh tidak acuh kepada pasangannya.

“Tunjukkan kasih sayang dan menghargai pasangan ini bukan hanya sesekali atau ketika anda dalam keadaan gembira saja namun ia perlu dilakukan setiap hari dan setiap masa.

“Paling utama senyum, sentiasa mesra dengan pasangan walaupun anda dalam keadaan penat atau marah. Jaga hatinya dan jika keluar berdua atau bersama anak-anak cari peluang untuk berpega­ngan tangan,” ujarnya.

Menurutnya, keba­nyakan pasangan terutamanya yang sudah berkahwin melebihi lima tahun memberi alasan malu atau tidak biasa berkelakuan mesra de­ngan pasangan di hadapan orang lain apatah lagi apabila berada di tempat umum.

“Mesra yang saya maksudkan ini bukanlah mengada-ngada yang keterlaluan atau perlu berkelakuan kurang sopan di khalayak, cukuplah sekadar jalan berpimpin tangan sambil berbual mesra atau bergelak tawa.

“Biasakan situasi itu tidak kiralah berapa lama tempoh perkahwinan anda. Siapa kata hanya golongan muda boleh berkelakuan sedemikian? Hakikatnya usia atau tempoh perkahwinan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk anda mempamerkan kasih sayang,” katanya.

ZUMASNI
ZUMASNI

MAHU DIHARGAI DAN DISAYANGI

Menurut Zumasni, lumrah kehidupan, setiap pasangan berumah tangga mahukan hubungan yang bukan saja ikhlas malah bahagia.

“Kajian yang saya lakukan mendapati ramai pasangan terutama isteri yang menderita akibat pasangan tidak pernah atau jarang menunjukkan kasih sayang atas pelbagai sebab.

“Ada yang berkata sayang itu tidak perlu diungkap kerana ia dapat dirasa namun pendapat ini tidak tepat kerana sayang itu perlu diungkap dan ditunjukkan. Janganlah berharap pasangan kita dapat memahami perasaan kita jika kita tidak menunjukkan usaha yang tepat,” katanya.

Katanya, semua itu menjadi antara faktor perceraian kerana ramai orang berasa dirinya tidak dihargai akibat pasangan yang sangat jarang menzahirkan rasa sayangnya.

“Seorang suami mungkin mencintai isterinya namun bersikap acuh tidak acuh, tidak bertutur dengan manis selain mengelak untuk bersikap romantis.

“Situasi itu mungkin dilihat sesuatu yang biasa kepada suami namun ia meninggalkan kesan emosi yang besar kepada isteri terutama jika dia terbeban dengan tugas di rumah ditambah jika dia turut bekerja,” katanya.

Menurut Zumasni, sebelum sebarang kejadian tidak diingini terjadi seperti pergaduhan, perceraian atau pasangan mengalami tekanan, segeralah bertindak dan berubah.

“Jangan malu tidak bertempat. Ingatlah, dia adalah pasangan yang sudah bersama anda sejak sekian lama, pasangan yang menerima setiap buruk baik anda, bersama pada saat susah dan senang. Bahkan dialah juga yang menjadi ibu atau bapa kepada anak anda maka tunjukkan rasa sayang dan penghargaan kepada mereka.

“Jika dia suka berpimpin tangan maka pimpin tangannya. Jika dia suka berbual mesra, layan setiap kata-katanya. Jika dia mahu dilayan seperti zaman mudanya tidak salah juga anda melayannya dengan manja demi memastikan rumah tangga dibina utuh dan kekal,” katanya.

SETIAP pasangan mahu dihargai.
SETIAP pasangan mahu dihargai.

TIP HUBUNGAN KEKAL MESRA

Zumasni turut berkongsi tip yang boleh dilakukan bagi menguatkan kasih sayang suami isteri dalam mengelakkan masalah dan perceraian.

1. Dengar luahan pasangan

Komunikasi adalah perkara paling penting dalam sebuah hubungan kerana banyak rumah tangga hancur disebabkan kurangnya komunikasi dua hala. Jika si isteri mahu mengadu atau bercerita mengenai anak, tempat kerjanya atau rakannya dengarlah dan beri tindak balas yang baik. Itu sudah cukup menggembirakan pasangan.

2. Berkelakuan romantis walaupun anda tidak biasa atau sekurang-kurangnya cuba

Ramai individu mahu pasangannya menunjukkan dan mengung­kapkan kasih sayang. Jika anda bukan seorang yang romantis, anda perlu mencuba sedaya mungkin untuk menunjukkan anda sememangnya sayangkannya. Hantar pesanan suara atau mesej menggunakan ayat manis sesekali terutama ketika anda berdua tidak berada di tempat yang sama seperti di pejabat atau seorang lagi di rumah.

3. Sentiasa jaga hatinya

Jangan abaikan perasaan pasangan anda walaupun pada perkara remeh. Bantu dia lakukan kerja di rumah dan beri isteri waktu rehat tanpa anak seketika sekiranya dia adalah seorang suri rumah sepenuh masa dan jika si isteri bekerja, bahagikan tugas di rumah sebaik mungkin.

4. Jangan suka menceritakan masalah rumah tangga kepada individu lain termasuk ahli keluarga

Percaya atau tidak, lebih 50 peratus masalah rumah tangga berkait rapat dengan campur tangan individu lain terutamanya keluarga. Sebaiknya jika anda mempunyai sebarang masalah jangan sesekali membuka mulut mengadu kepada keluarga apatah lagi jika ahli keluarga sering cuba menghasut atau memburukkan pasangan anda kerana akibatnya lebih buruk. Bagaimanapun jika tidak mampu bersabar bolehlah mengajak pasangan dengan ibu bapa kedua belah pihak untuk berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik.

5. Jangan terlalu berharap

Hidup dalam kehidupan realiti dan janganlah terlalu mengharapkan sesuatu yang melampau, sekiranya si suami atau isteri sememangnya seorang yang kurang romantis ja­ngan pula mengharapkan sesuatu yang luar biasa. Terima setiap kekurangan dan kelebihan pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:25 AM