Siti Zarinah Sahib


PERKONGSIAN beberapa kes dikendalikan kaunselor bertauliah, Dr Rafidah Kastawi mengenai seks pada awal usia sememangnya mengejutkan penulis.

Jika dua atau tiga tahun kebelakangan lalu masyarakat dikejutkan dengan anak-anak remaja berusia 15 hingga 18 tahun terbabit dalam kes rogol tetapi kini masyarakat ditampar dengan kisah anak di bawah usia 12 tahun melakukan jenayah ini ke atas mangsa yang jauh lebih muda.

Berdasarkan sesi kaunseling yang dijalankan ke atas pelaku dan mangsa, mereka meluahkan tidak tahu tingkah laku seksual itu salah. Lebih mengejutkan ia bermula dengan keseronokan, lama-kelamaan dianggap sesuatu yang biasa dan ada juga dijadikan rutin harian.

Selain penggunaan gajet yang berleluasa dan tontonan laman sesawang porno, menurut Dr Rafidah, punca yang perlu diambil tahu ibu bapa adalah perlakuan tidak ‘beradab’ ibu ayah di rumah. Ini berlaku apabila mereka menunjukkan aksi yang seharusnya dilakukan secara tertutup, jauh daripada pandangan anak. Walaupun halal dari sudut agama, ia boleh meninggalkan kesan emosi kepada si kecil.

Ia merujuk satu kajian kes yang pernah dikendalikannya membabitkan kanak-kanak berusia enam tahun yang dirogol secara bergilir-gilir oleh abang tiri dan kawan-kawannya. Sedihnya si pelaku semuanya berusia 14 tahun!

“Perkara ini bermula apabila si ayah membawa anak lelakinya tinggal bersama di rumah pangsapuri dua bilik. Satu bilik dihuni ibu ayah dan sebilik lagi untuk dua beradik tiri lelaki dan perempuan.

AMBIL tahu jika kanak-kanak lelaki dan perempuan terlalu rapat.
AMBIL tahu jika kanak-kanak lelaki dan perempuan terlalu rapat.

“Dalam ruang yang terhad anak ini melihat perlakuan ibu ayah yang ‘berkasih sayang’ di depan mata mereka. Tambahan pula mereka baru sahaja berkahwin lalu berasakan apa yang dilakukan itu tidak salah.

“Akibat tontonan video porno membabitkan si kecil berusia enam tahun ini bersama abang-abangnya, apa yang dilihat di video itu pernah dilakukan ibu bapa. Jadi pada fikirannya ia tidak salah.

“Lalu apabila abang-abang merogol kanak-kanak tadi perbuatan itu dirasakan seperti biasa, sehinggalah apabila dia berasa sakit, sehingga sukar membuang air kecil dan berlaku pendarahan barulah dia berani menceritakan kepada ibu. Malangnya ia sudah terlambat,” ceritanya.

Kes yang lain pula membabitkan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mengajak kanak-kanak lelaki enam tahun masuk ke bilik dan meminta kanak-kanak lelaki memegang kemaluannya. Lama kelamaan ia menjadi keseronokan dan anak lelaki tadi mengajar pula kanak-kanak di tadika sehingga ada yang terangsang.

Mereka mula menganggap ia seperti satu permainan yang biasa dilakukan dan lebih menakutkan apabila perlakuan ini menimbulkan keseronokan syahwat lantas menyebabkan ketagihan dan perlu diulang.

Jelas Dr Rafidah, ibu bapa jangan terkejut dengan pendedahan ini kerana ia ibarat penyakit berjangkit dan semakin menular dalam kalangan masyarakat.

Namun hanya sebahagian yang dilaporkan. Masih banyak kes yang tersorok khususnya membabitkan anak-anak di kampung dan ceruk desa apabila ibu bapa menafikan perlakuan mereka serta membiarkan pelaku menguruskannya sendiri.

TINGKATKAN ILMU KEIBUBAPAAN

Dalam hal ini ibu bapa perlu meningkatkan ilmu keibubapaan seiring perkembangan teknologi. Mereka boleh menghadiri seminar atau membaca banyak bacaan ilmiah.

Jangan beranggapan diri sudah cukup ilmu kerana ilmu keibubapaan bukan sekadar memberikan pendidikan di sekolah tetapi berkait berkelakuan dan bertingkah laku di depan anak.

“Sebelum mendirikan rumah tangga suami isteri atau ibu bapa harus memikirkan soal penyediaan tempat tinggal yang selesa dan selamat. Jika rumah ada dua bilik perlu ada ruang khas untuk anak lelaki dan perempuan supaya aurat mereka terjaga.

“Ibu bapa juga perlu menjaga adab, jangan bergaduh di dalam bilik tidur atau mengadakan hubungan kelamin ketika si kecil sedang tidur. Memang benar anak itu lena dibuai mimpi, tetapi aura dan tenaga yang dizahirkan akan diserap si kecil dan disimpan dalam memori mereka,” katanya.

Tambah Dr Rafidah, menurut kajian sains, anak yang mula merasai keseronokan seksual ini akan merembeskan hormon dopamin sebanyak 300 kali berbanding kanak-kanak normal lima kali sahaja. Oleh kerana sistem otak belum matang dia tidak dapat membezakan mana yang baik dan buruk.

“Ketika itu apa yang dipentingkan adalah keseronokan semata-mata. Lama-kelamaan ia menjadi ketagihan. Lebih memburukkan keadaan apabila ia berpindah kepada ilusi visual dengan melihat orang lain sebagai objek seks mereka.

“Pada usia 11 dan 12 tahun mereka masih mempunyai rasa rendah diri jadi mereka cuba mengawal kanak-kanak di bawah usia mereka seperti lima dan enam tahun.

“Sebab itu wujud kes rogol dengan pelaku berusia 12 tahun dan mangsa empat atau lima tahun,” katanya.

Sebagai kaunselor yang mengendalikan banyak kes membabitkan seksual kanak-kanak Dr Rafidah menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya ambil peduli dengan sebarang salah laku yang bukan sahaja berlaku di rumah tetapi pusat asuhan, tadika dan sekolah.

“Jangan biarkan ia berlaku dengan beranggapan mereka masih kanak-kanak. Jika tidak dibendung atau diasuh dikhuatiri ia akan berpanjangan malahan ‘berjangkit’ kepada individu lain pula,” ulasnya.

PISAHKAN TEMPAT TIDUR ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN

Menurut Pencetus Ummah (PU), Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi, Islam ada menjelaskan mengenai panduan berumah tangga yang bermula dengan pemilihan suami dan isteri yang didahului dengan ilmu agama pasangan.

Selepas mendapat cahaya mata, diterangkan pula mengenai pengasingan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila mereka sudah mumayyiz iaitu tahu membezakan mana yang baik dan buruk. Biasanya anak mula mumayyiz apabila mereka mencapai usia tujuh tahun.

“Namun setiap peraturan dan panduan ini harus disertakan dengan pencerahan sebab musababnya. Misalnya anak-anak perlu mengetuk pintu apabila memasuki bilik ibu bapa kerana dikhuatiri ibu atau bapa berada dalam keadaan yang tidak sopan.

“Begitu juga pengasingan bilik tidur bagi mengelak aurat di antara anak lelaki dan perempuan. Semua ini perlu diberikan penjelasan supaya anak-anak faham. Pada zaman teknologi ini anak-anak lebih bijak menggunakan gajet berbanding ibu bapa kerana mereka mampu mendapatkan informasi di hujung jari,” katanya.

Jelas Fakhrurrazi lagi, apa sahaja permasalahan rujuklah kepada al-Quran dan sunnah kerana semuanya sudah dijelaskan di dalamnya terutama membabitkan kekeluargaan.

TIP UNTUK IBU BAPA:

1. Perlu ada masa berkualiti sekurang-kurangnya 15 minit seminggu. Caranya dengan duduk bermain bersama anak, pandang matanya dan dengar semua luahannya. Cara ini menyebabkan anak merasakan ibu ada bersama mereka.

2. Dengar cakap anak walaupun perkara itu kecil atau tidak masuk akal. Fahami apa yang cuba disampaikan.

3. Bina kemahiran seawal usia. Misalnya suka bermain bola, alat muzik atau menari. Jangan biarkan mereka mencari keseronokan menerusi gajet.

4. Ambil tahu setiap perlakuan anak-anak. Terutama keintiman anak lelaki dan perempuan dan cuba mengambil tahu sekiranya menerusi tingkah-laku ada yang tidak kena.

UNTUK PELAKU ATAU MANGSA:

1. Ibu bapa jangan menghukum anak-anak kerana mereka tidak bersalah. Cukuplah anak-anak menerima hukuman dipisahkan daripada ibu ayah disebabkan rumah yang dirasakan tidak lagi selamat.

2. Jangan ungkit perkara yang sudah berlaku. Sebaliknya pandang ke hadapan dan lihat masa depan anak-anak.

3. Bagi dorongan dengan menjadi medium anak meluahkan masalah.

Biar mereka bercerita apa yang terbuku di hati. Luahkan dan lepaskan semuanya.

4. Jika tidak mampu menyelesaikannya jumpa kaunselor berdaftar atau bertauliah untuk mendengar masalah anda.

5. Pendekatan seni dan bermain mampu meredakan tekanan kepada pelaku dan mangsa kerana dapat meluahkan sendiri apa yang dirasai dengan cara bermain pasir, doh, anak patung dan permainan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:30 AM
DR RAFIDAH menggunakan elemen anak patung bagi mendengar luahan mangsa rogol kanak-kanak.
DR RAFIDAH menggunakan elemen anak patung bagi mendengar luahan mangsa rogol kanak-kanak.