SEDIA untuk dimakan.
SEDIA untuk dimakan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

RAMAI tercari-cari juadah yang sukar didapatkan pada bulan lain terutama menu yang sinonim dengan Ramadan seperti bubur lambuk.

Uniknya hidangan ini kerana ada pelbagai versi resipi mengikut negeri. Walau berbeza versi, semuanya begitu enak dan mempunyai peminatnya tersendiri.

Pengarah Nomatceh Sdn Bhd Sharifah Nur Rahimah Syed Alias berkongsi resipi bubur lambuk menggunakan beras merah Primera yang juga menu wajib keluarganya setiap kali kedatangan Ramadan.

Katanya, ia diubah suai dari resipi versi bubur lambuk Terengganu manakala beras putih biasa digantikan dengan beras merah Primera.

“Ini menjadikan bubur lambuk ini lebih berkhasiat kerana nilai Indeks Glisemik (GI) yang rendah. Ia membantu memperlahankan peningkatan gula dalam darah selepas makan.

“Beras ini sesuai untuk mereka yang menghadapi masalah kesihatan seperti diabetes dan obesiti. Mereka yang ingin menjaga kesihatan dan berat badan sudah tentu boleh cuba resipi ini juga,” katanya.

Sharifah Nur Rahimah menunjukkan cara membuat bubur lambuk istimewa yang enak ini.

BAHAN yang digunakan.
BAHAN yang digunakan.

Bahan

• 1kg (1 pek) beras merah

• Primera (untuk 30-40 orang makan)

• 1kg ikan kembung (dipanggang, tulangnya diasingkan, isinya ditumbuk hancur)

• 300g pucuk paku (patah-patahkan bahagian lembut pucuk paku)

• 200g daun kesum (tangkainya dibuang, hanya daun diperlukan)

• 1kg santan (boleh digantikan dengan 500ml santan kotak tanpa kolesterol)

• 4-5 bawang merah besar (dipotong dadu)

• 3-5 ulas bawang putih (dicincang)

• 2 inci halia (dihiris halus)

• 2 sudu besar lada hitqam

• 3-5 sudu besar garam (atau secukup rasa)

Cara memasak

1. Basuh beras merah dan letakkan dalam periuk besar. Tambah air sehingga separuh periuk. Masak sehingga teksturnya seperti bubur. Tambah air jika tidak mencukupi.

2. Apabila bubur sudah siap masak, masukkan bawang putih, bawang merah, halia, isi ikan dan lada hitam. Kacau rata dan biarkan mendidih.

3. Tambah santan, kacau dan biarkan mendidih. Jika terlalu pekat boleh tambah sedikit air.

4. Tambah pucuk paku dan daun kesum, kacau dan biarkan mendidih.

5. Kecilkan api dapur memasak, tambah garam secukup rasa, kacau rata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:01 AM