RUSLI Daik mengusahakan tanaman pokok tin di kawasan rumahnya.
RUSLI Daik mengusahakan tanaman pokok tin di kawasan rumahnya.
Siti Zarinah Sahib

KENAIKAN harga buah-buahan dan sayur-sayuran di pasaran mendorong Rusli Daik, 49, untuk mempunyai kebun sendiri di halaman rumahnya di Desa Putra Sungai Merab, Kajang sejak 10 tahun lalu.

Selain menjimatkan kos perbelanjaan harian, menuai atau memungut hasil tanaman memberikan kepuasan tersendiri selain menenangkan fikiran.

Mula berkebun sejak di sekolah rendah, menurut Rusli yang dilahirkan dalam keluarga petani, dia banyak dipengaruhi bapa yang turut menanam pelbagai jenis sayuran dan pokok herba di sekeliling rumah.

“Oleh kerana selalu mengikut ayah ke kebun, lama-kelamaan timbul minat untuk bercucuk tanam. Seingat saya, ketika di sekolah rendah, saya mula menanam cili dan bunga melur sambil dibantu ayah.

“Kemudian tanaman ini ditambah kepada betik, kacang panjang, jagung dan kacang tanah. Namun akibat kurangnya ilmu ada pokok mati dan layu tanpa belum sempat menikmati hasilnya,” katanya.

Menetap di lot banglo memberi peluang kepada Rusli untuk meluaskan hasil tanaman kepada kelapa pandan, limau bali dan jambu batu yang kesemua benihnya diperoleh dari nurseri dan juga pasar minggu.

“Ketika itu kos permulaan kurang daripada RM100. Selain mendapat­kan panduan mengenai teknik penjagaan menerusi media sosial, saya juga dapat menambah kenalan terutama mereka yang mempunyai hobi sama,” katanya.

Meminati pokok tin, pada mulanya dia hanya mendapatkan maklumat menerusi Facebook mengenai tanaman ini. Lama-kelamaan timbul keinginan menyertai kursus penanaman pokok tin di beberapa tempat.

Pokok tin adalah sejenis pokok yang cepat membesar. Apabila sudah tahu cara penjagaannya tidaklah sesusah mana.

MENGGUNAKAN pasu menjimatkan kawasan tanaman.
MENGGUNAKAN pasu menjimatkan kawasan tanaman.

“Namun cabaran utama adalah pokok tin agak mudah diserang penyakit, terutama serangan kulat pada daun. Selain itu pokok tin juga menjadi lokasi serangga pengorek batang. Apabila kebersihan kawasan tanaman dijaga dengan baik, masalah ini dapat dielakkan,” ujarnya yang kini mempunyai hampir 80 variasi pokok tin dan 100 jenis pokok lain di sekitar rumahnya.

Tambahnya lagi, apa yang menyebabkan dia teruja dengan tanaman ini adalah disebabkan proses untuk menuai buah tin dalam tempoh tiga bulan sahaja jika ditanam menggunakan benih keratan batang ataupun benih anak tut.

“Biasanya buah tin ini dimakan sendiri dan selebihnya saya hadiahkan kepada kawan-kawan atau diberikan kepada jiran tetangga. Sekali petik memang banyak, buahnya pula manis dan enak dimakan segar,” katanya.

Oleh kerana kebunnya agak luas, Rusli menggunakan pam elektrik yang beroperasi secara automatik untuk menyiram tanamannya. Walaupun begitu ada juga pokok yang disiram secara manual dengan bantuan isteri.

POKOK tin hidup subur di kawasan rumah.
POKOK tin hidup subur di kawasan rumah.

“Isteri turut meluangkan masa bersama saya menyiram pokok pada waktu pagi iaitu sebelum ke tempat kerja. Saya membaja tanaman pada hujung minggu dan kadang-kadang ada juga pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja namun ia mengikut keperluan,” tambahnya yang turut menggunakan baja organik kepada tanamannya.

Selain pokok tin, antara tumbuhan yang paling mudah dijaga adalah delima dan nangka, manakala yang sukar dijaga pula adalah jambu batu, cili dan tomato. Pokok-pokok ini sangat mudah diserang penyakit, terutamanya serangan kulat pada daun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 5:00 AM