HASIL tanaman hidroponik yang boleh dilakukan seisi keluarga menggunakan barang terbuang. FOTO: Rohanis Shukri
HASIL tanaman hidroponik yang boleh dilakukan seisi keluarga menggunakan barang terbuang. FOTO: Rohanis Shukri
Intan Mas Ayu Shahimi


AMALAN bercucuk tanam di sekitar kediaman kini bukan lagi hobi suri rumah. Ia berkembang dari sehari ke sehari, membentuk komuniti positif, kejiranan mesra, persekitaran hijau dan masyarakat ceria.

Jika ditanya kepada pemilik kebun dapur yang giat bercucuk tanam, pasti ramai yang mengakui seronok melihat hasil yang diperoleh. Berkebun bukan sekadar aktiviti untuk memenuhi masa terluang, sebaliknya menjadi terapi minda terbaik selepas seharian sibuk di pejabat atau menguruskan rumah tangga.

Dalam kalangan masyarakat bandar, aktiviti ini diperkenalkan untuk membantu orang ramai mengurangkan perbelanjaan dapur, selain menggalakkan pengambilan sayuran organik dan bebas penggunaan racun perosak.

Apa yang menariknya, aktiviti ini tidak lagi terhad kepada mereka yang tinggal di rumah jenis teres atau banglo saja. Inovasi pertanian bandar menggalakkan masyarakat mengitar semula barang terpakai bagi membina rantaian sistem yang diperlukan untuk mula bercucuk tanam.

Dalam sibuk memberi tunjuk ajar kepada peserta cilik yang menyertai program Agrokids Volume 4.0 2019 anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) baru-baru ini, Penolong Pegawai Pertanian, Khairiyanti Khamis, sempat berkongsi tip mengenai langkah demi langkah menyediakan pasu hidroponik.

Kata Khairiyanti, peralatan yang diperlukan untuk menyiapkan pasu ini mudah didapati. Paling penting, ia boleh dijadikan aktiviti bersama untuk seisi keluarga menghabiskan masa di sebelah petang atau hujung minggu.

“Menerusi aktiviti ini, ibu bapa boleh menjelaskan kepada anak-anak mengenai apa itu tanah, bagaimana perkembangan sayur dan bahagian tanaman yang mungkin belum difahami.

“Bagi anak-anak yang cerewet makan, inilah masa untuk membuka minda mereka mengenai apa yang dimakan setiap hari. Dalam masa sama, kita juga mengajar mereka mengitar semula barangan terpakai untuk menjimatkan kos,” katanya.

Bahan-bahan:

- 1 botol bersaiz 1.5 liter (berserta penutup)

- Sabut kelapa

- Sumbu

- Tanaman

- Larutan baja AB

Cara-caranya:

1. Botol mineral dipotong menjadi dua bahagian dan penutup dilubangkan untuk dimasukkan sumbu.

MASUKKAN sumbu.
MASUKKAN sumbu.

2. Masukkan sabut kelapa ke bahagian atas botol.

ISIKAN sabut kelapa.
ISIKAN sabut kelapa.

3. Alihkan anak pokok ke dalam botol yang diisi sabut kelapa.

ALIHKAN anak pokok ke dalam botol.
ALIHKAN anak pokok ke dalam botol.

4. Isi larutan baja AB di bahagian bawah botol.

5. Sayuran boleh mula dipetik selepas tiga minggu.

TIP

1. Pastikan air baja ditambah setiap kali diperlukan.

2. Letak tanaman di ruang yang mendapat cahaya matahari, udara dan suhu bersesuaian.

3. Pantau serangan kulat atau serangga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:00 AM