STANLEY (dua dari kanan) tampil bersama ahli panel lain (dari kiri) Zaiton, Fadzilah dan Sumitra dalam forum #WeForWomen. FOTO: Yayasan Sime Darby (YSD)
STANLEY (dua dari kanan) tampil bersama ahli panel lain (dari kiri) Zaiton, Fadzilah dan Sumitra dalam forum #WeForWomen. FOTO: Yayasan Sime Darby (YSD)
Intan Mas Ayu Shahimi

PENDIDIKAN masih menjadi agenda utama dalam kaedah menangani masalah keganasan terhadap wanita. Malah pendidikan terhadap keganasan itu tidak dihadkan kepada wanita semata-mata, sebaliknya lelaki perlu tahu peranan mereka dalam menghormati dan menghargai wanita.

Pendekatan itu jauh lebih berkesan berbanding hanya berharap kepada pelaksanaan undang-undang untuk memerangi penderaan domestik mahupun keganasan terhadap wanita.

Perkara itu ditekankan mantan Penasihat Undang-undang Kanan dan Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Stanley Isaacs ketika berbicara mengenai pencegahan penderaan domestik dan keganasan terhadap wanita dalam forum #WeForWomen pada Hari Wanita Antara­bangsa Yayasan Sime Darby 2019 (YSDIWD2019) baru-baru ini.

Katanya, sebagus manapun undang-undang digubal untuk memerangi sebarang bentuk penderaan domestik, andai sikap dan kesedaran masih di takuk lama, ia tidak akan membantu menangani semua permasalahan itu.

“Anda boleh memiliki undang-undang terbaik tetapi ia masih tidak memadai. Masih ramai termasuk lelaki yang berpendidikan melihat wanita sebagai harta mereka. Mereka boleh melakukan apa saja yang disukai dan tiada seorang pun boleh campur tangan hal itu.

“Senario itu perlu dihentikan dan tiada toleransi terhadap sebarang bentuk penderaan. Bukan di sini, tidak juga di tempat lain di dunia,” katanya di Auditorium Sime Darby Plantation di Ara Damansara.

Katanya, pendidikan dan kesedaran boleh membantu mencegah sebarang ketidakadilan ketika pihak berkuasa mengendalikan kes penderaan.

“Penguat kuasa perlu diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk terus membanteras kes berkaitan keganasan terhadap wanita.

“Ini termasuk sentiasa peka dengan setiap aduan yang dibuat selain perlu aktif, cepat dan mengendalikan kes tanpa kepentingan peribadi.

“Semua lelaki sama ada di tempat awam, di tempat kerja mahupun di institusi agama perlu menghormati wanita, tidak sekadar ibu atau kakak mereka saja,” katanya.

Aktres dan pengarah kursus Akademi Enfiniti, Joanna Bessey menjadi moderator turut membariskan ahli panel lain termasuk Pesuruhjaya Sukan Wanita pertama di Malaysia dan Sukan Olimpik Kebangsaan 1982, Datuk Zaiton Othman; Pengasas Rumah Solehah, Fadzilah Abdul Hamid serta Pengarah Eksekutif Organisasi Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan.

Forum #WeForWomen anjuran YSD bersama WAO dihadiri lebih 160 orang pekerja dari Sime Darby Plantation Berhad, Sime Darby Property Berhad dan Sime Darby Berhad.

Selain forum itu, Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin; Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari dan Perintis Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin turut berkongsi cabaran dan pengalaman mereka dalam bidang masing-masing.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi YSD yang baru dilantik, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar. Turut hadir adalah Ahli Majlis Penasihat YSD, Caroline Christine Russell, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad dan Ahli Majlis YSD yang bertanggungjawab Datuk Jeffri Salim Davidson serta Timbalan Pengarah Sime Darby Plantation Berhad.

YSD sudah menyokong WAO sejak 2010, dengan komitmen berjumlah RM4.3 juta untuk Pusat Perlindungan WAO khusus membantu hampir 1,300 wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan domestik selain dalam kerja advokasi, gaji pegawai advokasi dan pekerja sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 5:00 AM