SEMUA kaedah ini masih boleh menggunakan bahan seperti herba dan rempah untuk membantu mengurangkan lemak, gula mahupun garam dalam sajian harian. GAMBAR hiasan
SEMUA kaedah ini masih boleh menggunakan bahan seperti herba dan rempah untuk membantu mengurangkan lemak, gula mahupun garam dalam sajian harian. GAMBAR hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi

MEMASAK sebenarnya boleh menjadi rutin menarik bagi setiap individu, asalkan mempunyai pengetahuan mengenai asas penyediaan makanan dan kaedah yang boleh dipelbagaikan.

Di rumah, lazimnya ibu cenderung menggoreng dan menumis hidangan mengikut selera ahli keluarga. Ini kerana kaedah memasak sebegini dianggap mudah, ringkas dan cepat disediakan, khususnya buat ibu yang bekerja.

Bagaimanapun, sebenarnya ada banyak lagi kaedah memasak yang sesuai diamalkan untuk kesejahteraan sekeluarga. Cuba lihat dan pilih kaedah memasak yang dicadangkan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong ini. Pastinya ia lebih selamat dan menyihatkan.

Paling utama, semua kaedah ini masih boleh menggunakan bahan seperti herba dan rempah untuk membantu mengurangkan lemak, gula mahupun garam dalam sajian harian.

Mengukus

Boleh mengurangkan kehilangan khasiat makanan. Makanan dimasak dengan menggunakan haba daripada wap. Cara ini sesuai untuk memasak sayur-sayuran, ikan dan ayam serta dapat mengekalkan kebaikan khasiat serta kelazatan semula jadi makanan. Mengukus biasanya tidak menggunakan minyak.

KUKUS
KUKUS

Tumis

Ramai yang mungkin terlalu sibuk untuk membakar (dalam ketuhar) atau mengukus sajian makanan setiap hari. Teknik tumis adalah kaedah memasak yang mudah, menjimatkan masa dan dapat mengekalkan nilai pemakanan.

Makanan seperti sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin B dan C sesuai dimasak dengan kaedah ini kerana masa memasak yang singkat mengurangkan kehilangan nutrien. Gunakan sedikit saja minyak apabila menumis.

Membakar

Kaedah paling ideal untuk memasak daging, ayam dan ikan tanpa penggunaan banyak minyak. Haba daripada dulang pembakar menyentuh makanan secara langsung sekali gus mengedapkan bahagian luarnya.

Oleh itu, rasa dan sebahagian besar khasiatnya tidak hilang. Makanan perlu sentiasa dibalik-balikkan untuk mengelak hangus, memastikan ia dimasak rata dan sempurna.

Berbanding kaedah menggoreng dalam minyak, kaedah ini mengehadkan minyak dalam makanan. Malahan, sebahagian lemak daripada daging mencair dan hilang melalui proses ini.

Memanggang

Kaedah ini juga tidak memerlukan lemak atau minyak. Daging ialah makanan terbaik yang boleh dipanggang untuk hidangan sekeluarga. Seperti dalam kaedah membakar, haba yang menyentuh makanan secara langsung mengedapkan bahagian luar dan dalam makanan sambil mengekalkan jusnya.

MEMANGGANG
MEMANGGANG

Cara terbaik untuk memanggang dan membakar dalam ketuhar adalah dengan meletakkan daging di atas rak. Cara ini membolehkan minyak yang berlebihan menitis ke atas bekas atau dulang pembakar yang diletakkan di bawahnya. Seperti kaedah membakar, sebahagian lemak daripada daging mungkin hilang dalam proses memanggang.

Rendidih

Merendidih adalah teknik yang baik untuk memasak daging yang liat, seperti ayam, lembu tua atau daging yang secara semula jadi mengandungi lebih banyak tisu penghubung (lebih berurat). Tisu inilah yang membuat daging liat dan susah dikunyah jika tidak dimasak dengan betul.

Bagaimanapun, penggunaan haba kecil secara perlahan dan lama di atas api dapur atau dalam ketuhar boleh melarutkan tisu ini, menjadikan daging lembut dan berair.

Masa memasak yang lama juga membantu menaikkan rasa makanan, menjadikannya lebih lazat. Jangan lupa membuang lemak daripada daging sebelum memasak dan menggunakan sedikit sahaja minyak untuk menyediakan sajian.

Mereneh

Salah satu cara mudah untuk memasak ialah dengan memasukkan pelbagai bahan makanan dan ramuan ke dalam periuk tanah atau periuk masak perlahan dan biarkan direneh selama beberapa jam tanpa perlu menunggu. Masakan reneh adalah satu kaedah yang boleh digunakan untuk melembutkan makanan liat seperti daging.

RENEH
RENEH

Anda juga boleh menyediakan sajian sup untuk keluarga dengan mencampurkan sumber protein daripada ayam dan sayur bersama, menjadikannya hidangan berkhasiat.

En papillote (masak dalam bungkusan)

Tahukah anda bahawa anda boleh mengedapkan makanan dalam bungkusan dan membakarnya secara en papillote? Makanan dimasak dengan wap jusnya sendiri, yang terperangkap dalam bungkusan. Kaedah masakan ini amat mudah, rendah lemak, dan senang untuk dibersihkan peralatannya. Anda boleh menggunakan cara ini untuk memasak sayuran dan buah-buahan, ayam, ikan atau makanan laut serta pasta.

EN PAPILOTE
EN PAPILOTE

TIP

1. Potong makanan lebih kecil untuk mengurangkan masa memasak agar mengurangkan kehilangan khasiatnya.

2. Pelbagaikan tekstur makanan dalam masakan untuk disesuaikan dengan cita rasa semua ahli keluarga anda.

3. Pelbagaikan warna makanan dalam masakan dengan beberapa jenis sayuran yang berlainan warna untuk menjadikan sajian lebih menarik dan lebih lazat untuk anak-anak anda!

4. Daging, ikan dan ayam hendaklah dimasak dengan sempurna.

5. Simpan makanan dengan cara yang betul dan selamat; makanan kering dalam kotak simpanan makanan, manakala daging, ikan, ayam, susu dan makanan tenusu di peti sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 4:30 AM