HASIL kajian menunjukkan betapa kanak-kanak hari ini mempunyai kuasa untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. - GAMBAR hiasan
HASIL kajian menunjukkan betapa kanak-kanak hari ini mempunyai kuasa untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. - GAMBAR hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi

ARUS digital hari ini membawa banyak pengaruh dalam membentuk gaya hidup dan rutin harian setiap individu. Tidak kira sama ada lelaki, wanita, dewasa, remaja mahupun kanak-kanak, masing-masing merasai tempias perkembangan teknologi ini.

Melihat dari sudut yang lebih luas, penggunaan Internet kini tidak lagi terhad di meja kerja atau di depan komputer semata-mata. Wujudnya pelbagai pilihan peranti digital kini memberi nilai tambah kepada gaya hidup masyarakat. Semuanya mudah, pantas dan boleh dicapai tanpa had masa atau tempat.

Bagaimanapun, perubahan gaya hidup, tingkah laku, penerimaan dan tabiat dilihat ketara dalam kalangan kanak-kanak. Menurut kajian tahunan dibuat syarikat media digital kanak-kanak terkemuka, TotallyAwesome, lebih lapan daripada 10 kanak-kanak di Malaysia memilih untuk mempunyai akses Internet berbanding televisyen.

Kajian berkenaan pengaruh digital dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia itu juga menganalisis tingkah laku, penggunaan media dalam talian, penggunaan peranti, kandungan dan pilihan jenama.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif TotallyAwesome, Quan Nguyen, terdapat tiga fakta utama berhubung pengaruh digital yang harus diketahui masyarakat umum kini. Pengetahuan jelas mengenai fakta berkaitan perlu untuk membantu memperkasa peranan ibu bapa dalam mendidik generasi muda berkualiti.

TELEFON PINTAR

Sama ada kita sedar atau tidak, enam daripada 10 kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar. Angka ini mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Perubahan ini secara tidak langsung, menunjukkan kanak-kanak lebih cenderung memilih peranti mudah alih (88 peratus) berbanding peranti jenis tablet (47 peratus) dan televisyen (45 peratus).

Ini semakin jelas apabila fakta menunjukkan hampir 60 peratus kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar sendiri, sebanyak 36 peratus lagi mempunyai tablet, manakala 22 peratus yang lain memiliki televisyen di ruang sendiri.

Dengan angka penembusan ke talian mudah alih yang tinggi, maka tidak hairanlah jika saluran digital menjadi sumber maklumat utama. Lebih 90 peratus kanak-kanak yang dikaji memaklumkan mereka tahu mengenai permainan baru yang dilancarkan di Internet dan hanya 62 peratus mengakui mendapat maklumat sama dari televisyen.

KUASA IKLAN

Jika orang dewasa mudah terpengaruh dengan iklan di Internet, inikan pula kanak-kanak. Sejak dulu, mana-mana syarikat pengeluar produk lebih cenderung memilih iklan di televisyen untuk merangsang keinginan penonton, khususnya golongan kanak-kanak.

Bagaimanapun, kajian ini membuktikan berlakunya perubahan besar dalam landskap pengiklanan. Kesan daripada pengiklanan dalam talian, lapan dari 10 ibu bapa mengakui membeli produk untuk anak selepas terlihat iklan dalam talian.

Kata Quan Nguyen, pihaknya melihat sendiri bagaimana kanak-kanak di Malaysia teruja setiap kali melayari Internet. Dengan adanya telefon pintar, mereka lebih mudah dipengaruhi dengan iklan. Pasaran jenama juga lebih mudah mengaut keuntungan.

HAMPIR 60 peratus kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar sendiri.
HAMPIR 60 peratus kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar sendiri.

KUASA BELI

Agak mengejutkan apabila 94 peratus kanak-kanak di Malaysia dikatakan mempunyai kuasa untuk berbelanja. Selain melabur dalam dunia digital dan peranti mudah alih, mereka juga dilihat semakin banyak berbelanja.

Kira-kira sembilan daripada 10 anak menerima wang saku untuk menampung keperluan perbelanjaan mereka di sekolah atau ketika keluar bersama rakan. Daripada jumlah ini, satu pertiga menerima wang saku setiap hari.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga semakin bijak menilai apa yang dibeli, sesuai dengan peningkatan kuasa beli berbanding sebelumnya. Keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi ibu bapa dalam membuat keputusan saat berbelanja.

Sekalipun 77 peratus kanak-kanak masih meminta ibu bapa sendiri membeli apa yang mereka mahu, namun daripadanya cenderung mendapatkan apa yang dilihat di atas talian dengan menggunakan wang mereka sendiri. Justeru, ibu bapalah yang seakan-akan rugi. Anak-anak semakin cenderung membuat keputusan. Mereka mempengaruhi pilihan lokasi setiap kali makan di luar (80 peratus) jenis makanan ringan (78 peratus), mainan (74 peratus) serta filem yang hendak ditonton bersama (67 peratus).

“Apapun, hasil kajian menunjukkan betapa kanak-kanak hari ini mempunyai kuasa untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Tidak kira sama ada membeli secara langsung dengan wang milik sendiri atau dengan cara mendesak ibu bapa supaya memenuhi keinginan mereka. Ini semua pengaruh besar Generasi Alpha dan GenX yang bukan saja perlu difahami pemasar barangan, malah ibu bapa secara keseluruhannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 5:30 AM