FAUZIAH banyak mempelajari cara menanam daripada laman sosial dan Internet.
FAUZIAH banyak mempelajari cara menanam daripada laman sosial dan Internet.
Yusliza Yakimir Abd Talib

MEMANFAATKAN halaman rumah dengan pelbagai tanaman dan sayuran bukan saja memberi kepuasan buat mereka yang meminatinya malah menghidangkan panorama indah serta menyejukkan pandangan.

Buat sesetengah orang, hobi berkebun juga menjadi antara terapi untuk menenangkan diri sambil bersantai bersama keluarga tersayang.

Selain berfungsi sebagai kebun dapur, ia boleh menjadi ruang yang menarik jika bijak menyusun atur tanaman dan mungkin juga boleh mewujudkan taman mini untuk melengkapkan landskap halaman.

Aktif menanam sayur dan pokok bunga sejak empat tahun lalu, Fauziah Harun antara yang memanfaatkan halaman rumahnya dengan pelbagai tanaman.

Fauziah mengakui minatnya itu bukan saja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan di dapur, tetapi mampu menjadi lokasi sesuai untuk terapi minda.

Pelbagai sayuran ditanamnya termasuk kubis, cili, kailan, halia, kunyit, serai, kucai, markisa selain bunga kertas dan ros dan yang mengindahkan halaman rumahnya di Kampung Sungai Punggur, Trong, Taiping, Perak.

NABIHAH berpuas hati dengan pokok mangga yang ditanamnya.
NABIHAH berpuas hati dengan pokok mangga yang ditanamnya.

Menurutnya, modal bagi menanam sayur juga tidak besar malah ada di antaranya boleh didapati secara percuma.

“Sebenarnya bukan susah hendak mewujudkan taman dapur. Maklumat mengenainya begitu mudah dicari dan banyak di Internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak untuk mengusahakannya.

“Memang gembira bukan kepalang apabila semua tanaman mengeluarkan hasil. Selain mengindahkan landskap laman rumah, hobi ini dapat menenangkan hati dan jiwa saya setiap kali berada di luar,” katanya.

Menurut Fauziah, dia banyak mempelajari cara menanam daripada laman sosial dan Internet selain berkongsi minat dengan rakan yang mempunyai minat sama. Baginya bercucuk tanam tidaklah sukar kerana kebanyakan sayuran yang dipilih senang hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

Ia juga satu kepuasan buatnya apabila dapat makan hasil sayur yang ditanam sendiri. Memang ada sesetengah sayuran kadang-kadang ambil masa lama sebelum boleh dituai, tapi berbaloi sebab sayur yang kita tanam ini tidak menggunakan racun.

“Kalau beli sayur di pasar, sesetengahnya tidak terjamin sama ada bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sayur di rumah,” katanya.

Fauziah turut mengakui hobinya itu membolehkan dia menjimatkan kos barangan dapur kerana ada antaranya seperti cili yang dijual agak mahal dapat dipetik sendiri jika dia memerlukannya.

Hasil tanaman biasanya digunakan sendiri atau disedekahkan kepada keluarga dan jiran. Pokok bunga pula katanya, ada yang dijual kepada rakan dan secara tidak langsung ia juga dapat menambah pendapatan.

HASIL tanaman yang boleh dimakan tanpa perlu berasa bimbang.
HASIL tanaman yang boleh dimakan tanpa perlu berasa bimbang.

Dia juga cukup bertuah kerana suami sangat membantu terutama menyokong hobi itu selain anaknya yang boleh diharapkan untuk menyiram dan membaja tanamannya.

Fauziah juga menyertai kumpulan sokongan berkebun seperti Group Kebun Kampung Tanam Teknik Sendiri selain Group Peminat Bunga di Facebook.

Baginya, banyak faedah yang diperoleh termasuk ilmu dan maklumat mengenai penanaman dan pembajaan pokok yang betul selain dapat mengenal pokok yang tidak pernah diketahui atau dilihat sebelum ini.

“Selain dapat tambah kenalan dan bertukar idea dan maklumat, seronok juga dapat belajar daripada perkongsian sahabat yang memiliki hobi sama seluruh Malaysia,” katanya.

Berkongsi tip tanaman katanya, antara perkara asas yang perlu diamalkan adalah pokok wajib disiram dua kali sehari. Selain itu, baja yang sesuai juga memainkan peranan penting untuk mendapatkan tanaman yang cantik dan membesar sempurna, tanaman mesti dibaja seminggu sekali.

“Tak banyak petua yang saya amalkan, cuma bagi saya tanaman perlu dijaga dengan penuh kasih sayang, mereka juga hidupan yang diciptakan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 9:34 AM