PELBAGAI tanaman hidup segar.
PELBAGAI tanaman hidup segar.
Intan Mas Ayu Shahimi

Agak jarang bertemu lelaki muda yang suka berkebun di laman rumah. Bukan tiada, namun kekangan masa dan gaya hidup masyarakat bandar yang banyak menghabiskan masa di pejabat, bersama keluarga dan rakan tidak mengizinkan mereka untuk mempunyai hobi sebegini.

Suri rumah lebih cenderung menghabiskan masa bercucuk tanam di laman berikutan adanya keratan sayur selepas memasak atau biji benih daripada buah yang dipotong untuk santapan seisi keluarga.

Namun Mohd Fatah Zainon, 36, menepis andaian itu dengan mudah. Melihat kebun di sekeliling kawasan rumahnya, lelaki ini memang pakar bercucuk tanam hinggakan kebunnya tampak subur merimbun dengan hasil mewah.

Kata pegawai bank ini, dia akan menyiram pokok pada setiap malam, selepas pulang bekerja. Malah, rutin sama dilakukan tanpa jemu sejak kira-kira sembilan tahun lalu.

“Pagi, saya memang keluar bekerja. Sebelah malam, barulah saya membelek tanaman. Kalau tidak hujan, saya akan siram. Jika ada yang sudah matang dan mengeluarkan hasil, saya petik untuk kegunaan dapur,” katanya.

PELBAGAI tanaman hidup segar.
PELBAGAI tanaman hidup segar.

Menurut Mohd Fatah, masa lapang yang ada memang selalu dihabiskan untuk menjenguk tanaman, menyemai, membaja, menyiram dan mengenal pasti keperluan di kebun.

“Saya seronok setiap kali dapat melihat pokok membesar sihat dan berjaya mengeluarkan hasil. Semua hasil tanaman ini pula biasanya dikutip untuk dibuat sajian. Kalau ada yang berlebih, saya akan kongsi dengan jiran.

“Kalau ditanya luas kebun, tanaman saya memenuhi laman depan, tepi dan dapur. Kepuasannya sukar hendak diungkap terutama apabila berjaya menanam jenis tanaman yang susah hidup disebabkan faktor cuaca, tanah dan sebagainya,” katanya.

Jelas Mohd Fatah, dia mula berkebun di pekarangan rumah sewanya selama enam tahun, sebelum meneruskan minat sama di rumah sendiri sehingga ke hari ini.

CILI meriah mengeluarkan hasil.
CILI meriah mengeluarkan hasil.

“Ada banyak jenis tanaman yang saya usahakan. Pokok hiasan termasuk heliconia, keladi spesies calathea, lady palm, pokok daun semun (pakis langsuyar) dan costus. Sayur dan buah pula ada cili besar, cili padi, palermo, lada benggala, salad, lemon, limau nipis, limau purut, bayam, pakchoy, kale tucsan, kale keriting, rocket, rosmary, selasih, daun salam, kubis, terung, ubi keledek, kari, kesum, halia, lengkuas, bunga kantan dan nanas.

“Setakat ini, dengan hasil kebun, saya hanya membeli 20 peratus saja barang dapur untuk memasak. Selebihnya memang dipetik dari hasil kebun di sekitar kawasan rumah.

“Saya sangat berpuas hati sebab tidak menggunakan racun atau bahan kimia sepanjang berkebun. Melalui cara ini, saya dapat pastikan makanan saya sekeluarga datang daripada hasil organik. Pada masa sama, halaman rumah juga nampak hijau dan menenangkan,” katanya.

POKOK pisang rendah.
POKOK pisang rendah.

Satu lagi perkara yang boleh dibanggakan, Mohd Fatah menghasilkan sendiri baja tanamannya daripada sisa dapur. Selain menjimatkan katanya, pokok juga kelihatan lebih sihat, tahan penyakit dan kurang serangan serangga.

“Saya kerap berkongsi pengetahuan, pengalaman dan ilmu berkebun di laman sosial Instagram dan kumpulan komuniti Facebook yang mempunyai minat sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 7:01 AM