PEDOFILIA kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam hidup
PEDOFILIA kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam hidup
Intan Mas Ayu Shahimi

Saban tahun, isu penderaan seksual membabitkan kanak-kanak dan ancaman pedofilia berulang kali diketengahkan. Banyak kes terpencil berlaku tanpa kita sedari. Anak rosak dan tenggelam dalam arus sosial tanpa bimbingan sewajarnya daripada ibu bapa.

Adakah masyarakat kini tahu isu pedofilia dan pornografi kanak-kanak sudah membabitkan pelanggaran hak asasi manusia yang serius? Atau mungkin mereka lupa anak di rumah adalah anugerah Allah yang diamanahkan untuk dijaga, dibelai, dilindungi dan dididik dengan sebaiknya.

Anak adalah aset bernilai buat agama dan negara yang perlu dihargai, bukannya didera atau dieksploitasi secara fizikal, mental mahupun seksual. Hari ini, ancaman pedofilia semakin menular, merentasi sempadan, melangkaui kemudahan Internet, aplikasi gajet dan pelbagai saluran teknologi maklumat.

Tanpa kita sedar, kehidupan pasif anak di rumah sekalipun boleh mendatangkan pelbagai risiko sekiranya tiada pemantauan dalam penggunaan Internet. Nampak jelas, pedofilia adalah ancaman yang boleh memberi kesan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan anak.

Menurut Ketua Wanita IKRAM Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, pedofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai kecenderungan seksual terhadap kanak-kanak. Ia adalah penyakit psikologi dan kehadiran pelakunya dalam masyarakat hari ini mengundang ancaman besar kepada anak.

“Mereka ini sukar dikesan kerana sering kelihatan normal dan sangat mesra dengan kanak-kanak.

Mengambil kira kes yang banyak berlaku sebelum ini, pedofilia boleh membabitkan ahli keluarga terdekat atau mereka yang hampir dengan kanakkanak.

“Antara punca jelas, adalah kesan perkembangan dunia siber tanpa sempadan kini. Internet memang memudahkan perkongsian maklumat, tetapi ia juga sarat membawa risiko yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak.

“Apa yang menggerunkan, kes pedofilia selalunya berkait rapat dengan penyalahgunaan Internet, platform media sosial dan aplikasi sembang telefon bimbit. Pelaku mudah mengeksploitasi kanak-kanak kerana sifatnya yang belum matang dari sudut fizikal, mental dan emosi.

Sebab itulah ibu bapa perlu bersikap agresif dalam mengawal penggunaan Internet di telefon bimbit atau komputer,” katanya.

CHE Asmah.
CHE Asmah.

Jelas Che Asmah, isu pedofilia berbeza dengan kebanyakan isu keibubapaan berikutan memerlukan kerjasama dan campur tangan semua anggota masyarakat termasuk guru, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“IKRAM melihat isu pedofilia sebagai hal kritikal untuk ditangani segera. Anak perlu diberi peringatan dari semasa ke semasa supaya mereka sentiasa berwaspada. Setiap pihak perlu merancang strategi kemas dan efektif.

“Kita perlu lebih serius, sentiasa komited untuk mengambil tahu dan mendalami isu ini. Setiap anak sentiasa terdedah kepada ancaman pedofilia ini, sama ada sebagai mangsa atau pemangsa,” katanya.

Masalah psikologi

Katanya, kajian di Amerika Syarikat sebelum ini menunjukkan pengamal pedofilia dikenal pasti oleh pakar psikiatri sebagai kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam hidup.

“Mereka tertarik melihat kanak-kanak sebagai objek seksual disebabkan oleh pelbagai faktor.

Namun, suatu hal yang perlu disedari ibu bapa, kebanyakan pedofilia cenderung mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian dan mudah percaya kepada orang asing yang menghulurkan bantuan, empati mahupun kasih sayang.

“Malah pakar psikiatri mendapati impak terhadap kanak-kanak yang mengalami gangguan seksual oleh pedofilia ini adalah sangat membimbangkan. Ia meninggalkan kesan trauma yang menyebabkan kemurungan dan ada juga yang ketagihan seks sejak kecil.

“Sebab itu kita galakkan ibu bapa, pengasuh, guru dan ahli masyarakat supaya mengambil inisiatif untuk mempelajari dan mendalami ilmu seksualiti.

Usah anggap ia tabu kerana kita sememangnya perlu kenal perubahan diri anak mengikut peringkat umur mereka. Ini adalah proses pembelajaran sepanjang hayat.

“Pada masa sama, kuasai ilmu teknologi dan berusaha untuk membimbing anak melayari Internet secara sihat,” katanya.

SALAH guna Internet, platform media sosial dan aplikasi sembang telefon bimbit bawa ancaman pedofilia
SALAH guna Internet, platform media sosial dan aplikasi sembang telefon bimbit bawa ancaman pedofilia

Memberikan penjelasan lanjut, Che Asmah berkata, Islam menganjurkan pendedahan pendidikan seksualiti bermula dari rumah. Ia diperincikan Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam bukunya bertajuk Tarbiyatul Aulad fil Islam.

Kata Che Asmah berkata, pendidikan seksual diperincikan Dr Abdullah mengikut empat tahap umur iaitu mumayyiz (tujuh hingga 10 tahun) yang perlu diasingkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan serta diajar adab melihat atau meminta izin ketika hendak masuk ke bilik ibu bapa.

“Tahap kedua ialah prabaligh iaitu murahiqah (10 hingga 13 tahun). Mereka ini perlu dididik mengenai perubahan diri dan diawasi daripada perkara yang boleh merangsang nafsu seks.

“Tahap ketiga ialah umur akil baligh iaitu 14 hingga 16 tahun. Mereka perlu diajar adab berhubungan antara lelaki dan perempuan.

Akhir sekali, pendidikan usia 17 tahun ke atas. Mereka harus diberi kefahaman mengenai tanggungjawab reproduksi dan dididik dengan adab menjaga maruah serta kehormatan diri,” katanya.

Kata Che Asmah, anak kecil di pusat pendidikan prasekolah dan sekolah rendah pula boleh diajar solat dan wuduk seawal usia enam tahun.

“Mungkin ibu dan guru sudah boleh mula menerangkan mengenai haid dan air mani yang membatalkan wuduk.

Ini juga bukan perkara tabu yang tidak boleh dibincangkan. Ia perlu diterangkan kepada anak kerana menjadi keperluan untuk mereka memahami sistem tubuh dan kepentingan menjaganya.

“Dalam era teknologi yang pesat ini, kita perlu proaktif dalam mendidik anak. Jika tidak, mereka sendiri akan mendapatkan informasi dari sumber Internet yang lebih cepat ataupun bertanya kepada kawan sebaya. Kita khuatir maklumat yang mereka dapat itu tidak tepat dan paling membimbangkan membawa pengaruh tidak sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:30 AM