Yusliza Yakimir Abd Talib

Pepatah yang mengatakan anda adalah apa yang anda makan sering dikaitkan dengan kesihatan tubuh. Namun tahukah anda, kecantikan dan kesihatan kulit juga berkait dengan pemakanan seharian.

Ramai wanita mengeluh keadaan kulit tidak seperti yang didambakan. Telahan mereka, hanya dengan menggunakan produk kecantikan sudah mencukupi untuk mendapatkan kulit cantik.

Realitinya, penjagaan kecantikan dan kesihatan kulit bermula dari dalam menerusi apa yang dimakan. Buah-buahan dan sayuran antara makanan terbaik untuk memastikan kulit mendapat nutrisi yang diperlukan agar tampil sihat dan bermaya.

Lupakan niat untuk mendapatkan produk yang menjanjikan kesan pantas tapi merana kemudian hari. Salah satu cara untuk mendapatkan kulit sihat adalah dengan mengamalkan pemakanan sihat.

Ramai wanita tidak sedar bahawa di sekelilingnya terdapat begitu banyak makanan yang bermanfaat untuk menyihat dan mencantikkan kulit. Berikut antara makanan memberi manfaat kecantikan kulit yang boleh diamalkan setiap hari.

1. Anggur

Buah ini paling baik diambil untuk mendapat kulit sihat kerana memiliki vitamin, mineral dan pelbagai nutrisi yang bermanfaat untuk kulit. Anggur dipercaya mampu menyihatkan kulit kerana di dalamnya terkandung antioksidan tinggi. Antioksidan tinggi pada buah ini bermanfaat untuk melembapkan kulit, melindungi daripada radikal bebas dan juga menghindari tanda penuaan. Bukan hanya isinya saja yang bermanfaat, biji anggur juga memiliki berguna untuk mengurangi jangkitan kulit disebabkan pelbagai penyakit kulit.

2. Avokado

Avokado selama ini dipercayai mempunyai manfaat kesihatan dan kecantikan kulit wanita. Buah ini mengandungi vitamin E dan C serta lemak baik bagi tubuh. Vitamin E bermanfaat untuk menjaga kulit agar sentiasa lembap, sihat dan juga cerah. Vitamin C pula bermanfaat untuk menjaga kelembapan kulit sehingga menghindarkan kulit daripada menjadi kering. Kulit kering sering membawa masalah lebih teruk seperti kulit bersisik dan mudah berkedut.

3. Ubi bit

Buah ini mengandungi zat besi dan sering dijadikan sebagai buah penambah sel darah merah di dalam tubuh. Ubi bit membantu menyegarkan kulit kerana ia kaya dengan kalsium, magnesium, vitamin A dan E serta kalium. Semua vitamin dan nutrisi pada buah ini boleh menjaga kelembapan dan mencerahkan kulit.

4. Kelompok buah beri

Kelompok buah beri dipercaya dapat menjaga kesihatan dan kelembapan kulit disebabkan kandungan vitamin C yang tinggi di dalamnya selain kaya dengan antioksidan. Antioksidan dapat melindungi kulit daripada radikal bebas yang boleh menyebabkan penuaan, menyebabkan kanser kulit dan membuat kulit menjadi kusam. Pengambilan buah beri boleh membantu wanita mendapatkan kulit lembap, sihat dan bersinar. Antara yang tergolong dalam keluarga beri ialah beri biru, strawberi, acaiberi dan beri hitam.

5. Epal

Epal antara buah yang juga tergolong sebagai makanan kaya antioksidan. Dos antioksidan yang tinggi pada buah ini dapat menghindarkan wanita dari penuaan, kulit kering dan kedutan.

6. Betik

Antara buah yang murah dan mudah dijumpai, mengandungi enzim papain dan serat yang bermanfaat dalam pencernaan. Ia juga mengandungi beta karoten yang bermanfaat untuk membersihkan kulit sehingga kulit tampak sihat dan cerah.

7. Kelapa

Selain dijadikan santapan enak untuk kebanyakan hidangan tradisi di negara ini, kelapa juga boleh dimanfaatkan untuk kecantikan wajah dan kulit.

Kelapa dikatakan dapat menghindar jerawat kerana kandungan mikrob yang ada di dalamnya selain kemampuannya melawan bakteria berbahaya yang merosakkan kulit. Bahkan santan kelapa sering dijadikan bahan utama dalam mencantikkan rambut.

8. Tomato

Sayuran dan makanan yang wajib ada di dapur ini juga mengandung banyak manfaat. Ia mengandungi vitamin A yang bermanfaat untuk menyihatkan mata selain mengandungi likopen yang bermanfaat untuk mencegah kerosakan kulit akibat radikal bebas.

9. Melon

Kandungan air yang tinggi dalam melon membuat kita berasa segar apabila memakannya. Ia berupaya menyihatkan kulit kerana kandungan tinggi air boleh mengelakkan dehidrasi yang menyebabkan kulit kering dan mudah berkedut. Kandungan antioksidannya juga tinggi hingga boleh menghalang kesan buruk daripada radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan jaringan kulit sehingga kulit akan kelihatan kusam, tidak bercahaya dan berisiko kanser.

10. Bayam

Bayam antara sayuran yang baik untuk menyihatkan kulit kerana kaya vitamin A, beta karoten, zat besi dan juga antioksidan.

Jika diambil setiap hari, bayam dapat menghindarkan kita dari gejala anemia, menghaluskan wajah dan juga menghilangkan masalah jerawat di kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 1:16 PM