Siti Zarinah Sahib

Banyak kes kemalangan berlaku setiap tahun membabitkan bayi dan kanak-kanak meninggal dunia akibat tercampak keluar dari kenderaan.

Semua kecelakaan jalan raya ini dikatakan terjadi kerana anak kecil ini didukung atau dipegang ibu bapa dan tidak diletakkan di kerusi keselamatan kanak-kanak.

Apabila kenderaan dibrek mengejut atau terbabit dengan perlanggaran, risiko untuk bayi atau kanak-kanak tercampak keluar kenderaan adalah besar.

Paling tidak kemungkinan kepala bayi terhantuk pada papan pemuka atau tempat duduk hadapan, yang kedua-duanya bukan saja menyebabkan risiko kecederaan, bahkan kehilangan nyawa.

Bagi ibu bapa kerusi keselamatan kanak-kanak adalah aksesori penting yang perlu ada dalam setiap kenderaan. Namun ramai ibu bapa memandang ringan kerana beranggapan si kecil lebih selesa dalam pangkuan ibu di sebelah.

Penulis berpeluang bertanyakan pendapat beberapa ibu mengenai keengganan mereka menggunakan kerusi keselamatan kenderaan ini antara alasan diberi adalah anak tidak mahu duduk dan menangis sepanjang perjalanan. Daripada membiarkan si kecil meraung ibu beralah lalu memangku atau membiarkan anak dipegang penumpang lain.

Bagi suri rumah pula kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak agak mahal harganya. Mereka berpendapat untuk apa membazir kerana suami sentiasa menemani isteri keluar sekiranya ada perkara penting yang memerlukan bayi dibawa bersama.

Tidak kurang pula memberikan alasan ruang kereta menjadi sempit sekiranya kerusi keselamatan ini diletakkan sepanjang masa terutama bagi yang memiliki jenis kereta kompak.

Lebih malang apabila ada ibu bapa memilih tempat duduk atau tilam khas yang dijual menerusi dalam talian kerana menganggap anak mereka mampu tidur lena dan duduk lebih selesa sepanjang perjalanan.

Bagi ibu bapa yang mementingkan keselamatan anak, tempat duduk bayi adalah keperluan wajib dan bukannya pilihan. Jangan nanti akibat keengganan ibu bapa dan ceteknya pemikiran menyebabkan ada ibu bapa menangis kemudian hari kerana kehilangan anak tersayang.

Wajibkan kerusi keselamatan

Kebanyakan negara di Eropah mewajibkan ibu bapa meletakkan anak mereka di kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak atau berdepan tindakan undang-undang. Jerman misalnya, menguatkuasakan undang-undang apabila mewajibkan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan dengan ketinggian kurang 1.5 meter diletakkan di kerusi keselamatan.

Kanak-kanak juga dilarang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tanpa menggunakan kerusi khas yang termaktub dalam undang-undang di negara itu.

Begitu juga di Perancis, kanak-kanak di bawah usia 10 tahun tidak dibenarkan duduk di bahagian hadapan ketika kenderaan bergerak, manakala bayi berusia bawah sembilan bulan dengan berat kurang sembilan kilogram perlu diletakkan di kerusi khas bayi di tempat duduk belakang dan menghadap ke belakang.

Malah ada hospital di negara luar yang akan memastikan kenderaan ibu bapa mempunyai kerusi keselamatan sebelum membawa bayi mereka pulang ke rumah. Jika tidak, bayi tidak dibenarkan keluar hospital.

PASANG kerusi keselamatan di tempat duduk belakang menghadap ke belakang.
PASANG kerusi keselamatan di tempat duduk belakang menghadap ke belakang.

Begitu juga dengan Korea Selatan yang mengenakan syarat ketat ke atas kenderaan keluarga mempunyai anak kecil. Semuanya dilakukan demi menjaga keselamatan si kecil. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan hak keselamatan anak diberi keutamaan.

Di Malaysia peraturan sebegini belum dilaksanakan namun amat penting setiap ibu bapa mempunyai kesedaran bagi melindungi keselamatan bayi mereka kerana kemalangan tidak berbau dan boleh berlaku di mana saja.

Bagi memberikan kesedaran kepada ibu bapa mengenai pentingnya memiliki kerusi keselamatan bayi, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri melalui kelas keibubapaan bersama butik kelengkapan bayi dan kanak-kanak, Tateh mengadakan bengkel khas mengenai kepentingan menggunakan kerusi keselamatan bayi kepada ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata.

Menurut Pengasas Tateh Siti Shafurah Abas, apa yang ingin diberi penekanan dalam bengkel ini adalah mengenai teknik pemilihan dan pemasangan kerusi keselamatan dengan betul.

“Walaupun wujud kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk memiliki kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak, cara kerusi dipasang adalah salah dan tidak membantu melindungi si kecil daripada kemalangan.

“Ada juga menyangka penggunaan kerusi ini untuk bayi berusia tiga bulan ke atas saja. Sebenarnya bayi perlu diletakkan di dalam kerusi ini seawal mungkin, iaitu sebaik saja dibenarkan keluar dari hospital sehingga berusia 12 tahun,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut menurut Siti Shafurah, kerusi kanak-kanak terbaik mestilah mempunyai kemampuan untuk dipasang dengan kemas di dalam kereta. Dengan kata lain ia mesti menepati piawaian ISOFIX (piawai antarabangsa untuk pemasangan tempat duduk kanak-kanak dalam kenderaan). Selain itu ia biasanya mempunyai pemegang untuk membolehkan anda membawanya dengan mudah sewaktu di luar kenderaan.

SITI SHAFURAH terangkan cara pemasangan kerusi keselamatan bayi yang betul.
SITI SHAFURAH terangkan cara pemasangan kerusi keselamatan bayi yang betul.

Panduan penting

Sebagai panduan untuk memudahkan anda memilih tempat duduk kanak-kanak yang sesuai, berikut ialah antara beberapa aspek yang perlu diberi penekanan:

1. Ciri keselamatan

Ciri keselamatan adalah faktor penting dalam memilih tempat duduk bayi. Tempat duduk menghadap ke belakang adalah jenis terbaik untuk bayi jadi sebaiknya posisi ini dikekalkan selama yang boleh (kecuali apabila anak anda sudah semakin membesar). Pastikan tempat duduk itu mempunyai berat yang lebih dan had ketinggian yang sesuai dengan anak sedang membesar.

2. Pelarasan tali pinggang

Dapatkan tempat duduk dengan tali pinggang boleh laras agar boleh disesuaikan dengan berat kanak-kanak. Tali pinggang keselamatan tempat duduk ini sepatutnya boleh diketatkan dengan sebelah tangan sewaktu memandu. Untuk ciri kerusi yang baik pilih tali pinggang pada kerusi jenis butang di tengah bukan di tepi.

Perehat kepala boleh laras juga membolehkan kanak-kanak menggunakan tempat duduk berkenaan lebih lama. Tempat duduk bayi pula biasanya mempunyai pelindung ataupun kanopi untuk melindunginya daripada sinaran cahaya matahari.

3. Ketahanan

Tempat duduk bayi atau kanak-kanak biasanya direka agar boleh dipadankan dengan kemas di dalam kereta. Pastikan ia memenuhi ujian piawaian.

Selepas mendapatkan kerusi keselamatan yang betul dan berkualiti pastikan cara ia dipasang adalah betul. Kebanyakan ibu bapa meletakkan kerusi bayi di tempat duduk sebelah pemandu sedangkan ia salah. Berikut adalah panduan pemasangan yang betul:

JANGAN letakkan bayi anda pada kerusi hadapan kerana bahagian itu letakkan beg udara.
JANGAN letakkan bayi anda pada kerusi hadapan kerana bahagian itu letakkan beg udara.

1. Kesemua kerusi kereta bayi harus dipasang menghadap belakang dan diketatkan menggunakan tali pinggang keledar kereta dengan sistem pepenjuru. Bahagian tali pinggang paha pula dipasangkan dengan kaedah tiga penjuru di mana sistem asasnya sedia ada pada kerusi terbabit.

2. Kerusi kereta bayi tidak boleh dipasang pada tempat duduk hadapan kerana kenderaan kini dilengkapi beg udara. Ia membahayakan nyawa bayi anda.

3. Tempat paling baik dan sesuai adalah kerusi duduk belakang, di bahagian tepi sebelah kiri. Tolak tempat duduk penumpang hadapan ke hadapan untuk memberi ruang di antara kerusi bayi dengan tempat duduk ini. Jangan sekali-kali merapatkan kerusi penumpang hadapan dengan kerusi bayi.

3. Kesemua kerusi kereta bayi mempunyai tali pinggang. Ia sangat penting untuk keselamatan bayi. Bagaimana tali pinggang ini disesuaikan bergantung kepada jenama dan model kerusi ini, tetapi kebanyakannya mempunyai satu tali untuk ditarik. Dengan menarik satu tali ini, keseluruhan tali pinggang boleh disesuaikan dengan mudah.

4. Apabila anda bersedia memulakan perjalanan bersama bayi anda, tali pinggang bayi hendaklah cukup ketat sehingga dua jari saja boleh masuk di antara tali di bahagian bahu dengan tulang bahu bayi. Tali pinggang kerusi bayi perlulah berada rapat dengan badan bayi. Ia seharusnya dipasang melalui dua slot di belakang kerusi, setara atau bawah sedikit daripada ketinggian bahu bayi anda.

5. Sebelum bayi anda lahir, kerap berlatih memasang kerusi kereta bayi. Ini dapat membantu anda berasa lebih yakin apabila benar-benar menggunakannya kelak. Jangan tunggu sehingga bayi anda lahir baru anda hendak belajar memasangnya.

6. Sebelum memulakan perjalanan pastikan bayi anda kenyang. Elakkan mengangkat bayi sekiranya bayi menangis. Biarkan saja kerana lama-kelamaan bayi akan selesa dan tidur lena sepanjang perjalanan.

 KERUSI keselamatan untuk kanak-kanak sehingga usia 12 tahun.
KERUSI keselamatan untuk kanak-kanak sehingga usia 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 2:22 PM