BUSANA gaya etnik sentuhan Mohd Faiz beri impak mempesonakan.
BUSANA gaya etnik sentuhan Mohd Faiz beri impak mempesonakan.
REKAAN selesa sesuai dengan tema #Selesamaksimum.
REKAAN selesa sesuai dengan tema #Selesamaksimum.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Meskipun dunia fesyen hari ini semakin sarat dengan pembaharuan dan transformasi, sukar menidakkan tarikan fabrik tradisional seperti batik yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Malah suntikan elemen moden menjadikan rekaan ini sentiasa menjadi pilihan lelaki mahupun wanita untuk digayakan pada bila-bila masa.

Jika sebelum ini kita menganggap pemakaian kain batik hanya dipakai golongan ‘mak cik’ atau sebagai pakaian basahan di rumah, busana bergaya etnik yang mendapat sentuhan pengasas Butik Calice, Mohd Faiz Md Fathil memberi impak yang mempesonakan.

Mana tidaknya, semua koleksi itu memaparkan rekaan busana kontemporari dan moden yang menerapkan sentuhan keindahan batik yang memukau.

Tidak ramai pereka yang berani mengangkat rekaan fesyen daripada batik sepenuhnya, namun percubaan untuk menjadikan fabrik bermotif etnik ini sebagai elemen utama dalam rekaannya nyata membuahkan hasil.

Usaha lelaki ini mengangkat fabrik tradisi itu ke tahap lebih tinggi sehingga ia tidak lagi dipandang sepi atau dianggap sebagai pakaian untuk golongan tertentu saja wajar dipuji.

“Saya percaya, jika bukan kita yang mengangkat warisan ini ke peringkat lebih tinggi, siapa lagi yang boleh berbuat demikian? Apa yang penting, cara kita mengetengahkan fesyen yang bersesuaian untuk menjadikan fabrik ini tampak eksklusif setanding fabrik lain.

“Menggunakan fabrik kapas bermotif batik, ia lebih sesuai digayakan dalam cuaca di negara ini. Pada awalnya, saya mencuba nasib memasuki pasaran pakaian Muslimah dengan memilih batik sebagai kelainan, tapi tidak sangka motif tradisi ini sebenarnya mempunyai kelompok peminatnya tersendiri.

“Selain itu, pemilihan corak dan motif pula saya pastikan rekaan ringkas, rona segar ceria serta harmoni untuk untuk memberi nafas baru di samping cuba menepati cita rasa kontemporari dalam rentak fesyen terkini,” katanya.

Menurutnya, budaya tradisional menjadi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan busana Muslimah.

Walaupun diadun dengan sentuhan moden supaya kelihatan elegan, setiap rekaan tetap mematuhi syariat Islam dengan menghasilkan potongan longgar dan labuh manakala materialnya tidak jarang.

Menariknya, koleksi butik ini juga menawarkan saiz dari S hingga 3XL untuk memberi lebih pilihan kepada golongan bersaiz besar untuk tampil bergaya pada pagi lebaran dan pelbagai majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 3:38 AM