ACARA pelepasan Save Our Rainforest Race 2018.
ACARA pelepasan Save Our Rainforest Race 2018.
HM Digital

Spesies bucida hijau, penaga lilin dan tanjung antara 1,000 pokok hutan pelbagai jenis ditanam di Hutan Simpan Gading dan laluan rekreasi Kolam Air Panas Kerling, Hulu Selangor bagi program Save Our Rainforest Race 2018 (SORR 2018) baru-baru ini.

Penganjuran kali ke-enam, program anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor, Markas 4 Divisyen Infrantri Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia ini mengumpulkan seramai 1,500 peserta dari seluruh negara.

Diadakan sempena Hari Hutan Antarabangsa 2018, slogan SORR 2018 adalah ‘Cut The Greed, Not The Green’ bersesuaian dengan objektif PEKA yang memperjuangkan isu khazanah alam negara.

Perlumbaan kali ini membabitkan laluan sejauh 15 kilometer bermula dan berakhir di Kem Pelangi Hill Resort dan beberapa ‘check point’ dengan melakukan pelbagai aktiviti berkaitan khazanah alam termasuk penanaman anak pokok hutan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berharap SORR 2018 menjadi platform kepada generasi muda untuk menjiwai dan memiliki kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan hujan tropika.

“Hutan kita antara hutan hujan tropika tertua di dunia, namun kita agresif melakukan kemusnahan. Penebangan hutan di Malaysia masih mencatatkan rekod tertinggi di dunia.

“Hanya kita dapat menyelamatkan hutan, jadi kita memiliki tanggungjawab besar dalam menyebarkan kempen kesedaran mengenai kepentingan khazanah warisan negara ini.

“Penganjuran SORR 2018 adalah simbolik kepada aktiviti pemuliharaan hutan kerana kita mengajak peserta dan masyarakat berlumba menyelamatkan hutan kita.

“Selain terus memperjuangkan isu kemusnahan khazanah alam Malaysia, dalam masa sama kita melaksanakan aktiviti penanaman semula pokok hutan menerusi program ini,” katanya dalam ucapan perasmian SORR 2018.

Sebelum ini, acara tahunan ini turut diadakan di Hutan Lipur Chamang, Pahang (2013), Hutan Simpan Sg Besi, Kuala Lumpur (2014), Hutan Lipur Kuala Woh, Perak (2015), Hutan Simpan Sungai Menyala, Negeri Sembilan (2016) dan Taman Negara Pulau Pinang, Pulau Pinang (2017).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 10:29 AM