NUR Rabitahani.
NUR Rabitahani.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Kelahiran bayinya enam bulan lalu pada awalnya membawa keceriaan kepada seluruh ahli keluarga, namun takdir menentukan permata bongsunya disahkan menghidap penyakit jantung.

Khabar duka itu diketahui Nur Rabitahani Basroh, 28, ketika masih dalam pantang, namun dia reda dan tabah melalui ujian itu. Ketika itu, hanya Allah tempatnya bergantung.

Selamat menjalani pembedahan jantung, bayi Nur Rabitahani kini semakin pulih dan membesar seperti bayi lain, namun, keadaannya itu menuntut penjagaan rapi.

Nur Rabitahani tidak dapat bekerja kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bayinya. Akur dengan ketentuan Ilahi, dia cuba memenuhi waktunya dengan kerja rumah dan menjaga anaknya yang lain.

Dua bulan lalu, seakan-akan tergerak di hatinya untuk meninjau kawasan sekitar rumahnya yang kosong dan entah bagaimana dia terasa ingin mencantikkan kawasan itu.

NUR Rabitahani puas hati tanamannya hidup subur.
NUR Rabitahani puas hati tanamannya hidup subur.

“Saya memang menyediakan sajian keluarga di rumah. Terdetik di hati, kenapa tidak saya manfaatkan tanah yang ada ini untuk menanam sayuran?

“Saya tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga bayi yang baru menjalani pembedahan dan ada banyak masa di rumah. Saya manfaatkan masa dengan berkebun sebaik saja anak tidur.

“Daripada sekadar hobi dan mengisi masa terluang, kebun dapur saya kini bukan saja membantu menambah pendapatan keluarga malah menjimatkan belanja dapur kerana tidak perlu lagi membeli sayur.

“Sebenarnya berkebun juga mampu menjadi sumber pendapatan keluarga. Kita dapat menjimatkan kos barang dapur dengan menanam sendiri sayur-sayuran di rumah.

“Tak perlukan kawasan tanah yang luas pun, hanya sedikit ruang dan idea kreatif, kita sudah boleh menjana makanan sendiri dari dapur,” katanya.

Nur Rabitahani turut mengindahkan kawasan dengan tanaman bunga ros Jepun yang menjadikan kebun sayurnya lebih menarik dan mengasyikkan pandangan.

ROS Jepun mengindahkan landskap kebun dapur Nur Rabitahani.
ROS Jepun mengindahkan landskap kebun dapur Nur Rabitahani.

Menurutnya, kawasan itu kini menjadi terapi buatnya malah suami dan anaknya banyak membantu dari membersihkan rumput dan menuai hasil tanaman sama ada untuk dimakan sendiri atau dijual.

Melihat landskap kebun dapur di rumahnya di Kampung Kemboja, Sepintas, Sabak Bernam, itu pasti tiada siapa yang sangka baru dua bulan dia mengusahakannya.

Katanya, dengan penjagaan betul tanaman dapat hidup subur dan membuahkan hasil memuaskan dan segar.

“Tumbuhan yang ditanam sendiri akan memberi makanan yang sihat kepada keluarga. Ia juga mampu merapatkan hubungan sesama ahli keluarga apabila berkebun bersama.

“Tiada petua khusus yang saya amalkan dalam menjaga tanaman, cuma saya memastikan setiap hari tanaman disiram, membaja secara berjadual dan menyembur racun serangga untuk mendapatkan hasil tanaman terbaik.

“Yang penting, tanaman ini bebas daripada bahan kimia berbahaya. Kelebihan menanam sendiri ini kita dapat pastikan tanaman kita selamat dan jika perlu menyembur racun serangga pun, kita tahu mana yang tidak memberi kesan terhadap kesihatan manusia,” katanya.

ANTARA tanaman diusahakan di halaman rumah.
ANTARA tanaman diusahakan di halaman rumah.

Nur Rabitahani berkata, dia turut menyertai kumpulan tanaman dan kebun kecil di Facebook dan banyak menimba ilmu daripada perkongsian ahli.

Malah banyak tutorial dan nasihat yang diperoleh daripada ahli berpengalaman dipraktikkan tanpa rasa ragu dan dia turut akui mereka banyak membantunya mendapatkan tanaman terbaik.

Antara sayuran yang ditanam termasuk bayam Brazil, cili jambak, lada benggala, tomato, terung, jagung, kacang kelisa, kacang panjang batik, kacang panjang merah, 17 jenis cili, keladi Sarawak, tebu telur dan nanas Sarawak.

Selain penanaman biasa, Nur Rabitahani turut menggunakan kaedah penanaman hidroponik untuk beberapa jenis sayuran seperti bayam.

ANTARA tanaman diusahakan di halaman rumah.
ANTARA tanaman diusahakan di halaman rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 2:42 PM