KAEDAH pensel cakar membolehkan kanak-kanak termasuk penghidap autisme belajar menulis dengan baik.
KAEDAH pensel cakar membolehkan kanak-kanak termasuk penghidap autisme belajar menulis dengan baik.
PUSAT pendidikan khas, Child Story Therapy Center sediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa.
PUSAT pendidikan khas, Child Story Therapy Center sediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa.
AHLI Terapi Jurukerja Child Story Therapy Center Rohaiza Azreen Saaid (kiri) dan Dazrina cekal perkenalkan kaedah pensel cakar untuk kanak-kanak autisme belajar menulis.
AHLI Terapi Jurukerja Child Story Therapy Center Rohaiza Azreen Saaid (kiri) dan Dazrina cekal perkenalkan kaedah pensel cakar untuk kanak-kanak autisme belajar menulis.
KANAK-KANAK belajar menulis dengan kaedah pensel cakar.
KANAK-KANAK belajar menulis dengan kaedah pensel cakar.
Zaitie Satibi

Tiada rawatan khusus untuk memulihkan autisme, tetapi terdapat beberapa kaedah terapi yang boleh dilakukan bagi mengesan potensi dan meningkatkan keupayaan anak istimewa ini.

Terapi pada dasarnya perlu diberikan untuk membangunkan keadaan yang lebih baik. Ia juga perlu dilakukan secara rutin supaya kekurangan anak autisme dapat dipenuhi secara berperingkat.

Malah, terapi perlu diberikan seawal mungkin sebelum anak autisme berusia lima tahun berikutan perkembangan pesat otak kanak-kanak umumnya terjadi pada usia kira-kira dua hingga tiga tahun.

Ada beberapa kaedah terapi yang boleh dilakukan seperti terapi carakerja yang mengajar kemahiran membantu individu hidup berdikari sebanyak mungkin termasuk berpakaian, makan, mandi dan bersosial.

Terapi integrasi deria pula membantu individu dengan maklumat deria seperti penglihatan, bunyi dan bau bagi membantu kanak-kanak yang terganggu dengan bunyian atau tidak suka disentuh.

Selain itu, terapi pertuturan dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi individu. Ini kerana, segelintir individu boleh mempelajari kemahiran komunikasi lisan, manakala segelintir lagi menggunakan gerak isyarat atau papan gambar.

Bagi pengasas TulisCantik.Com Dazrina Che Din, pengalaman membesarkan anak sulung yang menghidap autisme mencetus idea baharu untuk menerbitkan buku belajar menulis dikenali Tulis Cantik: Latihan Pra Menulis kepada kanak-kanak.

Dazrina, 38, berkata, usaha itu lanjutan daripada ikhtiar beliau membawakan inovasi pensel cakar dari Amerika Syarikat iaitu alatan bagi melatih kanak-kanak seawal usia dua hingga tujuh tahun menulis dengan betul dan pantas pada 2016.

Kaedah pensel cakar yang direka oleh seorang ahli terapi di negara berkenaan khusus untuk kanak-kanak autisme itu digunakan ke atas anaknya, Nurdiana Allisya Mizan yang kini berusia tujuh tahun.

Menurut Dazrina, berdasarkan pengalamannya beliau percaya kanak-kanak mampu membaca jika sudah pandai menulis dan ini mendorong ibu tiga anak itu menghasilkan buku berkenaan.

Buku berkenaan yang mula diperkenalkan sejak awal tahun ini adalah satu inisiatif untuk kanak-kanak diberi pilihan melakukan aktiviti berfaedah daripada bermain gajet yang menjadi trend ketika ini.

“Jika ibu bapa mendedahkan awal kepada anak mereka cara menulis dengan betul, banyak kelebihan diperoleh kerana dapat meningkatkan kemahiran motor halus daripada usia muda.

“Buku ini membantu kanak-kanak untuk menulis dengan cara yang betul, mengikut setiap langkah demi langkah hanya bermula dengan membuat garisan.

“Kaedah yang digunakan ialah tengok, kenal, tulis dan ingat bagi meningkatkan keberkesanan belajar, malah ibu bapa juga perlu berinteraksi dengan anak mereka untuk membuat latihan di dalam buku,” katanya.

Lebih menarik, Dazrina berkata, buku setebal 68 muka surat itu turut disediakan dengan pelekat sebagai ganjaran jika kanak-kanak berjaya menyiapkan latihan pada setiap muka surat.

Buku latihan yang bersesuaian untuk kanak-kanak berusia seawal empat tahun itu mampu dihabiskan oleh kanak-kanak dalam masa sebulan jika ia diberi tumpuan setiap hari.

ILHAM DARIPADA ANAK

Menceritakan semula bagaimana wanita ini mendapat ilham untuk menghasilkan dua produk bahan pembelajaran untuk kanak-kanak termasuk autisme, Dazrina berkata, awalnya beliau hanya mencari alternatif bagi mengatasi masalah anak sulungnya yang tidak boleh menulis pada usia lima tahun.

“Sebagai ibu sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik untuk anak. Tambah lagi anak sulung dikesan menghidap autisme ketika usianya dua tahun selepas menyedari dia nampak berbeza daripada kanak-kanak lain.

“Nurdiana Allisya lambat bercakap dan hanya memberikan isyarat jika hendakkan sesuatu. Saya kemudian membawanya berjumpa pakar kanak-kanak dan dimaklumkan dia dilahirkan dengan autisme ringan.

“Saya tidak berdiam diri, sebaliknya mahu Nurdiana Allisya membesar sama seperti kanak-kanak lain yang boleh bercakap, membaca dan menulis. Oleh itu, saya menghantarnya menjalani terapi dan lihat banyak perubahan pada dirinya selepas melakukan terapi,” katanya.

Bagaimanapun, Nurdiana Allisya didapati masih tidak boleh memegang pensel dan menulis dengan betul. Selain mudah penat semasa menulis, dia sukar untuk menulis namanya sendiri.

Kesukaran menulis yang dialami Nurdiana Allisya disebabkan oleh kelemahan kemahiran motor halusnya menjadikan jarinya kurang upaya untuk memegang sudu atau pinggan, malah tidak mampu memberus gigi atau melakukan sebarang kerja yang mudah.

“Seorang rakan dari Amerika Syarikat memperkenalkan kaedah pensel cakar dan tanpa diduga hasilnya dalam tempoh tiga bulan sahaja, Nurdiana sudah boleh menulis dan menyalin dengan kemas dan teratur.

“Ini memberi ilham kepada saya untuk membawakan inovasi berkenaan ke negara ini bagi membantu ibu bapa yang berdepan masalah serupa. Ia bukan saja direka untuk kegunaan kanak-kanak autisme, malah kanak-kanak normal yang mengalami masalah menulis terutama menggenggam pensel juga boleh mencuba.

“Saya turut menggunakan kaedah pensel cakar ini kepada dua anak lain dan mereka turut menunjukkan kemampuan menulis dengan baik dan pantas,” katanya yang memiliki sijil Analisis Tingkah Laku Gunaan (ABA).

Beliau turut menjadikan kedua-dua produk itu sebagai bahan pembelajaran penting di pusat pendidikan untuk kanak-kanak khas, Child Story Therapy & Learning Centre, Bandar Saujana Putra di Puchong, Selangor.

“Saya banyak kongsikan kaedah ini dengan ibu bapa atau penjaga yang mengalami masalah sama terhadap anak mereka dalam platform media sosial, Tulis Cantik.

“Sambutan diterima juga agak memberangsangkan apabila permintaan terhadap pensel cakar ini meningkat kepada 15,000 unit pada tahun lalu. Oleh itu, saya berharap penghasilan buku menulis ini melengkapkan lagi kemahiran untuk belajar dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:48 AM