MUHAMAD Noor Syafiq.
MUHAMAD Noor Syafiq.
Intan Mas Ayu Shahimi

Hilang kaki kanan akibat kemalangan motosikal ketika baru berusia 20 tahun tentunya menjadi lembaran mimpi paling ngeri buat sesiapa saja. Pada usia semuda itu, majoriti daripada kita masih di peringkat peralihan dunia remaja, menyusun cita-cita dan impian ke kolej mahupun universiti serta sibuk mengintai peluang serta menggilap potensi diri untuk masa depan.

Namun, bagi Muhamad Noor Syafiq Nor Amirudin, 29, dia hanya mampu bermenung kosong di katil hospital, menahan sakit sambil mencari arah, tujuan dan masa depan ‘baru’.

Ternyata anak sulung daripada empat beradik ini kuat menempuh hari mendatang. Sekalipun nahas membabitkan bas itu meragut masa depannya sebagai manusia normal, namun Shafiq berjaya membuktikan di mampu terus berdiri sama seperti orang lain.

“Kemalangan hari itu berlaku pantas. Kaki kanan saya patah, hingga tiada isi di bahagian betis ke buku lali. Amputasi terpaksa dilakukan hingga ke paras bawah lutut kerana soket tendon patela (tempurung lutut) sudah pecah.

“Kata doktor, pembedahan perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan nyawa berikutan berlakunya jangkitan kuman. Keadaan saya juga tidak stabil kerana demam panas berpanjangan.

“Dalam keadaan sedar, saya mendengar setiap butir penjelasan doktor. Sekejap kemudian dunia terasa seakan kosong. Saya langsung hilang kata-kata. Terkedu dan kaku,” katanya yang turut patah tulang tangan (fibia dan femur) serta berlubang pada paha kiri.

TERLANTAR hampir tiga minggu di hospital akibat kemalangan.
TERLANTAR hampir tiga minggu di hospital akibat kemalangan.

Jelas Syafiq, hampir tiga minggu dia terlantar di hospital. Tidak banyak yang dapat dilakukan kerana dirinya sendiri sukar untuk menerima kenyataan hilang sebelah kaki akibat kemalangan berkenaan.

“Enam bulan juga saya cuba menerima kenyataan. Dalam tempoh itu, saya melalui fisioterapi untuk tangan kanan yang dimasukkan plat di kedua-dua fibia dan femur. Tanpa fisioterapi, mungkin tangan tidak dapat dibengkokkan lagi.

“Saya juga menjalani fisioterapi untuk penggunaan kaki palsu. Alhamdulillah, semuanya berlalu dengan baik. Sudah sembilan tahun saya menggunakan kaki palsu.

“Ketika dalam proses penyembuhan dulu, memang sakit yang teramat sebab salur darah sudah tidak normal. Ia juga menyebabkan berlakunya denyutan pada salur darah. Walaupun selepas luka sembuh sepenuhnya, masih juga sakit ketika berjalan, berdiri terlalu lama atau suasana terlalu sejuk,” katanya.

Menurut Syafiq, sepanjang proses penyembuhan, dia banyak merujuk pakar di KPJ Kubang Buaya, Kuantan. Selepas luka sembuh sepenuhnya, dia tidak lagi berulang ke hospital.

“Walaupun ada juga sakit bertandang sekali-sekala, bagi saya itu normal. Doktor sudah memberi penjelasan panjang lebar. Malah, saya juga diberitahu mengenai risiko kesakitan fantom (kesakitan maya) pada anggota yang ‘hilang’.

“Pernah ketika sedang dalam tempoh menyesuaikan diri dengan kesan amputasi, saya rasa seakan kaki masih ada. Malah, saya juga pernah cuba menggaru ‘tapak kaki’ yang gatal. Apabila dicapai, rupanya kaki sudah tiada.

“Tak semena-mena air mata menitis. Saya juga pernah jatuh ketika turun dari katil. Ingatkan kaki ada, rupanya saya tersilap mendahulukan kaki. Mungkin kerana sudah terbiasa mendahulukan kaki kanan, sakit akibat jatuh membuatkan saya tersenyum sendiri,” katanya.

Mengakui dirinya beruntung kerana mempunyai keluarga, rakan serta saudara yang banyak memberi kata semangat, Syafiq optimis menjalani kehidupannya sebagai Pembantu Tadbir di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

“Saya tidak pernah disisihkan keluarga dan teman. Cuma, ada waktunya, apabila orang pandang pelik, sedikit sebanyak saya tetap rasa diri kekurangan,” katanya yang aktif dalam dunia unit beruniform selaku ahli Pengakap Malaysia.

Amputasi pilihan akhir

Tidak cukup dengan kisah Syafiq, Hati bertemu Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Abdul Jamal Mohd Thalha.

Katanya, sehari sebelum pertemuan itu dia ada bertemu pesakit yang mengadu ‘kakinya’ sakit, sedangkan wanita berkenaan sudah melalui amputasi.

Katanya, amputasi adalah suatu keadaan di mana sebahagian atau keseluruhan anggota tubuh, seperti jari, lengan dan kaki, hilang akibat masalah kesihatan, trauma atau kecacatan kongenital.

Proses pemotongan ini biasanya dipilih doktor sebagai jalan akhir untuk merawat keadaan tertentu pesakit. Ia disarankan sebagai langkah untuk menyelamatkan nyawa pesakit, terutama jika kaedah lain tidak lagi mendatangkan kesan atau perubahan.

“Secara umumnya, amputasi boleh dilakukan secara terencana atau kecemasan. Dalam kes kecemasan, prosedur ini dilakukan apabila pesakit mengalami kecederaan sangat parah pada anggota badan atau jangkitan penyakit yang boleh membahayakan nyawa seperti gangren.

“Manakala amputasi terencana pula dilakukan selepas doktor dan pesakit mempertimbangkan pelbagai faktor seperti tahap kanser tulang dan sebagainya,” katanya.

Jelas Dr Abdul Jamal, banyak keadaan yang memerlukan amputasi anggota. Paling kerap adalah pesakit yang menghadapi masalah periferi arteri (penyempitan pembuluh darah arteri yang menyebabkan aliran darah ke kaki menjadi tersumbat).

KAKI kanan yang dipotong.
KAKI kanan yang dipotong.

“Diabetes, kombinasi tekanan darah tinggi dan kolesterol merosakkan lapisan arteri. Ketiga-tiga ini menjadikan lapisan arteri sempit dan terhalang hingga mengurangkan pengaliran darah kepada anggota.

“Apabila tidak ada pengaliran darah, bekalan oksigen kepada tisu akan berkurangan sekali gus menyebabkan kematian tisu. Inilah yang dipanggil gangren.

“Situasi kedua yang menyebabkan angka amputasi meningkat di Malaysia disebabkan parah kemalangan, ledakan atau letupan, luka serta kesan bakar yang teruk; kemudian, jangkitan parah yang tidak boleh diubati dengan antibiotik ataupun pembedahan seperti jangkitan diabetes, tumor ataupun kanser pada anggota tulang dan otot yang memerlukan amputasi untuk mengawal kanser daripada merebak serta paling penting dan kerap berlaku di negara ini, luka diabetes,” katanya.

Menurut Dr Abdul Jamal, beliau percaya paras diabetes dalam kalangan rakyat tempatan adalah yang paling tinggi di Asia. Ia bukan setakat menyebabkan pelbagai masalah yang membawa kepada amputasi, tetapi turut menjadi punca penyakit pembuluh darah periferi, disfungsi saraf yang menyebabkan pesakit tidak boleh merasa luka di anggota terbabit, kelemahan sistem imun dalam melawan jangkitan serta penyembuhan luka yang lambat.

“Semua ini mengakibatkan penularan jangkitan dengan cepat. Begitupun, ada satu lagi jenis amputasi yang jarang berlaku iaitu amputasi kongenital. Bayi yang lahir dengan masalah amputasi ini berkemungkinan dilahirkan tidak lengkap, tanpa kaki atau tangan,” katanya.

Mengelak amputasi

Sebelum amputasi dijalankan, lazimnya doktor akan memeriksa kesihatan dan keadaan pesakit, meneliti fungsi ginjal, jantung dan pernafasan. Selain itu, doktor juga akan melakukan pemeriksaan terhadap anggota tubuh, denyut nadi, sensitiviti kulit dan tahap penularan jangkitan mahupun sel kanser untuk menentukan paras mana amputasi perlu dilakukan.

“Ini antara perkara yang paling membimbangkan pesakit. Jika bercakap soal paras amputasi, biasanya, pakar bedah akan membuang hingga ke paras paling minimum. Paling penting, ia dapat mengubati pesakit dan mengelakkan penularan penyakit.

“Semua ini dapat ditentukan menerusi pemeriksaan sinar-X dan fizikal pesakit. Bahagian paling utama adalah prosedur amputasi di dewan bedah itu sendiri. Objektif utama rawatan adalah untuk membuang segala tisu berpenyakit ataupun yang sudah mati.

“Turut penting adalah pemeriksaan psikologi. Kita mahu menilai impak psikologi dan emosional daripada amputasi yang akan dijalankan. Ada waktunya, rawatan daripada pakar jiwa diperlukan untuk membantu pesakit pulih daripada trauma amputasi,” katanya.

Menjelaskan bagaimana amputasi boleh dielak, Dr Abdul Jamal berkata, rawatan awal untuk jangkitan diabetes, kawalan diet yang sempurna dan diagnosis awal untuk kanser, memainkan peranan cukup besar dalam mengurangkan kadar risiko amputasi.

KESAN amputasi dialami Syafiq.
KESAN amputasi dialami Syafiq.

“Begitupun, berdasarkan pengalaman saya, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan pakar selepas tahap jangkitan dan kanser sudah parah. Sebab itu pentingnya kesedaran mengenai rawatan awal. Inilah satu-satunya jalan paling efektif untuk mengelakkan amputasi.

“Bayangkan, bagi sesetengah orang amputasi satu jari pun sudah diumpamakan seperti kematian saudara terdekat. Inikan pula jika membabitkan tangan atau kaki.

“Pesakit bukan sekadar hilang anggota tubuh, tetapi boleh bertukar menjadi seorang yang keliru, sentiasa ragu-ragu dan tidak pasti untuk meneruskan hidup. Ada yang terperangkap dalam kemurungan, stigma, penampilan fizikal sebagai orang kurang upaya (OKU), hingga mengganggu program pemulihan pesakit.

“Realitinya, amputasi memang menyebabkan masalah dan boleh menjejaskan keupayaan fizikal pesakit. Pengecutan otot boleh menjejaskan imbangan badan dan kebolehan untuk berdikari. Mereka yang hilang kaki umpamanya, berdepan perubahan postur tubuh, hilang imbangan dan memerlukan sokongan lebih untuk kembali kepada masyarakat.

“Begitupun, ia tidak bermakna pesakit yang pernah melalui amputasi tidak boleh hidup normal seperti orang lain. Mungkin mereka ini berdepan sedikit kekangan, namun masih banyak ruang dan peluang untuk kelompok ini bekerja, sekali gus menjalani hidup seperti orang biasa,” katanya.

Mendepani cabaran

Hal paling hampir dengan pesakit apabila dicadangkan supaya melalui prosedur amputasi adalah mengenai persepsi, kebolehan untuk bekerja dan melalui kehidupan harian biasa.

Ini berlaku dalam kehidupan. Apabila pesakit dilihat berkerusi roda atau bertongkat, mereka sukar mendapatkan sokongan masyarakat, hilang pekerjaan dan pendapatan serta sukar mencari pekerjaan baru yang sesuai dengan kemampuan diri.

“Di sini letaknya peranan masyarakat. Untuk membantu pesakit amputasi meneruskan kehidupan dengan selesa, semua lapisan masyarakat perlu menghulurkan bantuan fizikal dan psikologi dari segi rehabilitasi, kemudahan OKU serta program untuk mengintegrasikan mangsa amputasi supaya mereka boleh rasa dihargai dan dapat meneruskan hidup sebagai anggota masyarakat yang produktif.

“Kita kena faham, walaupun pesakit itu sudah kehilangan anggota, penampilan fizikal mereka tidak lengkap, namun dia masih individu yang sama, mempunyai hasrat untuk hidup seperti orang lain.

“Cuba pelawa mereka menyertai pelbagai aktiviti dan galakkan penyertaan dalam agenda bulanan kawasan perumahan, surau dan sebagainya,” katanya.

CURI kesempatan berjalan-jalan ketika menyertai program
CURI kesempatan berjalan-jalan ketika menyertai program

Kesakitan fantom

Walaupun kedengaran aneh, namun sakit dan nyeri pada bahagian anggota tubuh yang sudah dipotong memang berlaku. Ini yang dinamakan sebagai kesakitan fantom atau kesakitan maya. Pesakit akan merasa seolah-olah kaki mereka masih ada dan sakit. Sedangkan anggota itu sudah lama dipotong!

Fenomena ini dikatakan berkait rapat dengan psikologi dan tahap keterukan anggota yang akan dipotong sebelum pembedahan.

“Selepas amputasi, pesakit masih boleh merasa sakit yang berlanjutan di bahagian anggota tubuhnya yang dipotong. Rasa ini boleh datang dalam pelbagai sensasi seperti sakit bagaikan dicucuk benda tajam, menusuk, nyeri, kejang ataupun panas terbakar.

“Berapa lama tempoh sakit ini berlangsung adalah bergantung kepada setiap individu. Ada yang datang sesaat dua, minit, jam ataupun kekal bertahun lamanya. Sebab itu sesetengah orang tidak memberitahu saudara atau orang sekeliling mereka mengenai sakit ini. Mereka bimbang dianggap gila kerana sakit di bahagian kaki atau tangan yang sudah tidak ada!

“Mereka ini boleh menderita bertahun-tahun kerana tidak mendapatkan rawatan sewajarnya. Tambahan persepsi masyarakat kita yang mudah mengandaikan yang bukan-bukan termasuk kesan santau, buatan orang, sihir dan sebagainya.

“Sebenarnya, kesakitan maya berlaku disebabkan oleh campur aduk pengiriman rasa sakit dari otak atau tulang belakang. Meskipun anggota tubuh itu sudah tiada, reseptor saraf di lokasi hujung amputasi terus mengirim rasa sakit ke otak, membuat otak rasa nyeri terus dan ditafsirkan sebagai rasa sakit berpunca daripada anggota yang hilang.

“Maklumat ini dipercayai berpunca daripada bahagian sensorisomato korteks di otak. Bahagian ini menyimpan data peta somatotopik iaitu pusat penyimpanan segala jenis informasi mengenai bahagian tubuh yang bertanggungjawab untuk pancaindera sentuhan kita,” katanya.

Selepas amputasi, Dr Abdul Jamal berkata, otak mengalami penyesuaian peta somatotopik akibat anggota yang hilang. Persepsi otak terhadap anggota tubuh berkenaan bagaimanapun tidak akan hilang dengan automatik dan dimunculkan seperti biasa.

Ini menyebabkan otak berupaya menyambungkan kembali litar saraf yang tidak lagi menerima rangsangan daripada bahagian yang dipotong. Rangsangan ini kemudiannya menimbulkan fenomena kesakitan maya yang dirasai sebagai rasa sakit nyata.

“Terdapat pelbagai faktor pemicu kepada fenomena kesakitan maya iaitu sentuhan, membuang air besar atau kecil, merokok, terdedah kepada udara dingin dan berhubungan kelamin.

“Secara umumnya, kesakitan maya perlu dibezakan dengan jangkitan pada bekas amputasi. Jangkitan biasanya berlaku apabila terdapat kesan kemerahan pada luka di peringkat baru, keluar nanah dan demam yang berterusan.

“Luka yang terkena jangkitan memerlukan rawatan segera untuk mengelakkan penularan kuman pada tulang dan otot. Sementara kesakitan maya masih boleh dirasai walaupun anggota berkenaan sudah tiada,” katanya.

Fakta

1. Amputasi di bahagian atas paras lutut memerlukan lebih tenaga untuk berjalan. Ini berlaku kerana tiada lagi bahagian untuk menyokong beban tubuh (lutut).

2. Ramai pesakit mudah bimbang jika doktor mahu memotong anggota lebih dari jangkaan mereka. Hal ini bergantung kepada banyak mana tisu mati perlu dibuang supaya jangkitan tidak menular.

3. Kesakitan maya boleh diatasi dengan ubat, terapi akupuntur, berurut, melakukan senaman, fisioterapi dan mengekalkan pemikiran positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:05 AM